KUSKOP kurangkan peranan orang tengah: Noh
BERA - Beberapa inisiatif dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mengurangkan peranan orang tengah dan membolehkan harga barangan dapat dijual pada harga lebih murah.
Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar berkata, antaranya mewujudkan sistem ladang kontrak dan pusat edaran koperasi yang boleh memberi manfaat kepada pembeli koperasi sedia ada.
"Cara ini dapat mengurangkan peranan orang tengah dan secara tidak langsung harga barang dapat dikurangkan (lebih murah).
"Inisiatif ini sebenarnya selari dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pernah berjihad memerangi peranan orang tengah ketika memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya ketika berucap di majlis perasmian MG Coopmart-Kopbera dan Jualan Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di Bera, pada Ahad.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ismail Sabri.
Sementara itu Noh memaklumkan, kerajaan memahami masalah usahawan yang menghadapi kemusnahan peralatan perniagaan akibat banjir.
Katanya, atas keprihatinan Perdana Menteri sebanyak RM150 juta diluluskan
untuk usahawan mikro serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terkesan akibat bencana itu.
Tambah Noh, daripada jumlah itu sebanyak RM15.6 juta diberikan kepada 5,218 usahawan di Pahang.
"Setiap daripada mereka akan mendapat geran sebanyak RM3,000," katanya.
Sementara itu menyentuh mengenai Coopmart, Noh berkata, koperasi itu dilihat dapat menjadi tempat bergantung bagi rakyat kerana harga barangan ditawarkan lebih murah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!