Padah jual bunga api, mercun di kawasan parkir

Lebih 500 bunga api dan mercun dirampas daripada seorang lelaki di Seri Iskandar, Jumaat lalu. - Foto Ihsan PDRM
(Gambar kecil: Barudin)
Lebih 500 bunga api dan mercun dirampas daripada seorang lelaki di Seri Iskandar, Jumaat lalu. - Foto Ihsan PDRM (Gambar kecil: Barudin)
A
A
A

PARIT - Polis menahan seorang lelaki kerana menjual bunga api dan mercun secara terbuka di kawasan parkir di Jalan PP5, Bandar Universiti, Seri Iskandar di sini pada Jumaat.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan anggota dari Balai Polis Seri Iskandar sekitar jam 6.15 petang ketika sedang menunggu pelanggan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, sebanyak 569 mercun dan bunga api pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM10,000 turut dirampas.

"Ketika serbuan, suspek yang mengaku pemilik premis berada di meja di parkir kereta yang diletakkan pelbagai jenis mercun.

"Pemeriksaan lanjut di dalam premis juga telah menjumpai pelbagai jenis mercun yang disimpan antaranya happy boom, thunder clap, silver cracking rain dan lain-lain lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurutnya, suspek ditahan kerana gagal mengemukakan premis kelulusan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Kata Barudin, pihaknya sedang memproses lima permohonan penjualan bunga api yang diterima namun, belum ada sebarang kelulusan diberikan setakat ini.

"Pasukan sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan harian sejak awal Ramadan sehingga tamat musim perayaan.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan dilakukan oleh pasukan Task Force Pemantauan, Team Op Payung, pemeriksaan oleh petugas Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta penugasan sekatan jalan raya," katanya.

Menurutnya, bazar Ramadan dan premis-premis perniagaan antara titik-titik panas yang dipantau oleh polis.

"Laman sosial juga tidak terlepas, kita akan pantau dan tindakan tegas akan diambil jika terkesan aktiviti penjualan mercun dan bunga api tanpa permit.

"Orang ramai bagaimanapun diingatkan untuk tidak membeli dan bermain mercun yang membahayakan hingga mendatangkan kecederaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!