JDT waspada ancaman Ulsan Hyundai
KELAB Liga Korea Selatan, Ulsan Hyundai dijangka akan menampilkan aksi yang lebih garang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) berbanding ketika seri 1-1 menentang Juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi pertama kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada Jumaat.
Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, suasana di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) selain permukaan padang yang lebih baik berbanding di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin dilihat akan membantu lawannya untuk beraksi lebih bagus menentang Harimau Selatan.
“Mereka (Ulsan Hyundai) merupakan pasukan gergasi yang hebat dan anda boleh melihatnya ketika mereka beraksi pada perlawanan pertama menentang kelab Jepun tempoh hari. Mereka bermain sangat hebat dan bertenaga.
“Sudah tentu bermain di Larkin tidak berapa bagus buat mereka kerana mereka bermain dalam keadaan panas pada jam lima petang. Jadi ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada rentak permainan mereka pada perlawanan itu.
“Dengan perlawanan kedua akan berlangsung di SSI, saya berasakan mereka akan beraksi dengan lebih hebat berbanding sebelum ini kerana mereka akan bermain di padang dan suasana stadium yang lebih bagus berbanding venue sebelum ini.
“Walaupun bermain di SSI akan beri sedikit kelebihan kepada lawan, kami gembira kerana mereka akan menunjukkan kemampuan yang sebenar dan itu yang kami mahukan daripada mereka,” katanya ketika sidang media pra perlawanan pada Ahad.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai corak permainan fizikal yang bakal ditampilkan lawan, Mora nyata tidak khuatir memandangkan JDT turut memiliki beberapa pemain yang mantap seperti Shane Lowry dan Natxo Insa.
“Saya rasa kami sudah bersedia dengan permainan fizikal yang akan ditampilkan lawan. Walaupun fizikal pemain mereka tidak sama seperti pemain tempatan yang kita ada ketika ini, namun kami masih ada beberapa pemain import yang kuat seperti Shane dan juga Natxo,”ujarnya.
Tambah beliau lagi, pemain juga diingatkan agar turut berhati-hati dengan ancaman pemain tengah Ulsan, Jun Amno yang dilihat bakal memberi ancaman kepada pasukannya untuk mengutip tiga mata.
“Saya perlu mengingatkan pemain JDT untuk mengawasi pemain tengah nombor 8 (Jun Amano) yang beraksi konsisten dan sentiasa menjana gerakan berbahaya.
“Selain itu penyerang dari Brazil (Leonardo de Souza) dan dua lagi pemain import, Mark Koszla serta Valeri Qazaishvili yang saya rasa turut akan bagi ancaman kepada pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!