Azeem raih emas acara 200 meter di Terbuka Singapura

Azeem (tengah) berjaya memenangi pingat emas acara 200 meter pecut lelaki di kejohanan Terbuka Singapura pada Sabtu.
Azeem (tengah) berjaya memenangi pingat emas acara 200 meter pecut lelaki di kejohanan Terbuka Singapura pada Sabtu.
A
A
A

PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara acara 200 meter pecut lelaki di kejohanan Terbuka Singapura pada Sabtu.

Atlet berusia 18 tahun memastikan pingat emas dalam genggamannya apabila melakukan catatan masa terpantas 21.52 saat mengatasi atlet Singapura, Reuben Rainer Lee yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 21.59 saat manakala gangsa dimenangi pelari yang mewakili Wings Athletic Club, Jonathan Bull dengan catatan 23.13 saat.

"Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana dapat menamatkan larian hari ini (semalam). Ini adalah pengalaman yang cukup berharga buat saya apabila dapat berlari dengan pelari pecut dari negara lain.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan ini kerana niat saya hanyalah untuk mendapatkan semula momentum larian selepas kembali menjalani latihan penuh.

"Apa pun saya gembira dengan catatan masa yang dilakukan saya di kejohanan ini," kata Azeem.

Pada tahun 2019, atlet kelahiran Perak itu mencipta sensasi apabila diiktiraf sebagai pelari remaja terpantas dunia untuk peringkat bawah 16 tahun dalam acara 200m apabila mencatatkan masa 21.24s di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Dalam perkembangan berasingan, jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berjaya meraih gangsa dalam acara tersebut semalam.

Lontaran sejauh sejauh 16.54 meter (m) yang dilakukan Ziyad pada kejohanan itu bagaimanapun tidak cukup untuk menyaingi lontaran dua atlet Filipina, John Albert Mentua yang memenangi emas dengan catatan 17.33m manakala Wiiliam Edward meraih perak (16.6m).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!