‘Lebih baik berunding daripada tidak berbuat apa-apa’

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menangkis dakwaan bahawa mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik lain demi mendapatkan semula mandat rakyat adalah gerakan individu dilaksanakannya sendiri.

Sebaliknya beliau berkata, sebarang tindakan ke arah itu adalah dalam pengetahuan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, ahli Majlis Biro Politik PKR dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin menjawab tuduhan dan propaganda yang seolah-olah menggambarkan bahawa berunding dengan mana-mana parti politik lain demi mendapatkan semula mandat rakyat itu adalah jalan pintas dan seperti satu gerakan individu oleh saya sendiri.

"Pendekatan berunding dengan parti-parti politik dan mengkaji permintaan daripada semua pihak terlibat adalah lebih baik berbanding tidak berbuat apa-apa," katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebooknya pada Ahad.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution menyatakan bahawa PH terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan PH sebelum ini jatuh bukan disebabkan rakyat menolak parti itu melalui pilihan raya, sebaliknya kerana pengkhianatan ahli Parlimen sendiri.

“Waktu itu, tengok balik jumlah kita ada 109, nak jadi kerajaan kena cari lagi tiga. Penyokong kita minta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat sesuatu dapatkan balik kuasa, kita tidak boleh tunggu tiga tahun lagi PRU15 untuk ambil balik (kerajaan).

“Dah kurang tiga saja, carilah jalan. Nak cari mana tiga ini? Tentulah ahli Parlimen bukan PH, siapa mereka? Pas, Sabah, Sarawak dan UMNO. Nak cari mereka ini keputusan PH, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), PKR bincang sama-sama.

Artikel Berkaitan:

“Kita berusaha cari, ada dua kemungkinan, berjaya atau tidak. Tapi kalau kita tidak berusaha langsung, sah tidak jadi apa dan ternyata setelah berusaha, kita tidak dapat, kita kembali semula untuk menyusun parti dan terus bergerak. Itu isunya.

“Tidak ada satu saat pun keputusan berunding dengan pihak di luar PH dibuat oleh seorang manusia, ini keputusan bersama, cuma berakhir dengan kegagalan, maka serangan ditujukan kepada Presiden PKR,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!