Imigresen nafi tahan individu warga China

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menahan seorang individu warga China menerusi laporan sebuah portal pada 16 April lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, laporan berkenaan mengulas mengenai kenyataan daripada ketua eksekutif sebuah syarikat swasta yang mempertikaikan tindakan yang diambil terhadap individu berkenaan.

"Individu tersebut tidak ditahan tetapi urusan untuk memberikan Pas Khas kepada beliau tidak dapat diteruskan kerana beliau gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengemukakan dokumen diperlukan.

"Lelaki tersebut gagal mengemukakan tiket penerbangan pulang dalam masa 30 hari dan beliau juga tidak memuat naik keputusan ujian RTK Covid-19 ke dalam aplikasi MySejahtera," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, Pas Khas tidak dapat dikeluarkan kerana menunggu syarikat majikan individu tersebut membeli tiket penerbangan pulang dan keputusan RTK dimuat naik ke dalam MySejahtera.

"Bagaimanapun, setelah tiket penerbangan pulang yang sah dalam tempoh 30 hari telah dikemukakan dan keputusan RTK telah berjaya di muat naik dalam MySejahtera, Imigresen telah mengeluarkan Pas Khas dan Memo Periksa Keluar selaras dengan peraturan dan undang-undang yang diperuntukkan," katanya.

Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Masyarakat sama ada warga asing atau warga tempatan diingatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga diingatkan menyediakan semua maklumat serta dokumen yang diperlukan sebelum hadir berurusan di kaunter atau mana-mana Pejabat Imigresen," katanya.

Pada Sabtu, sebuah portal tempatan menyiarkan artikel mendakwa seorang individu warga China ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!