TFC II puas hati, Kelantan United hilang dua tonggak
PENGENDALI Terengganu FC (TFC) ll, Badrul Afzan Razali tetap berpuas hati dengan prestasi para pemainnya walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United dalam perlawanan Liga Premier.
Jurulatih kelahiran Terengganu itu berkata, kemenangan tersebut amat bermakna kerana misi mengutip tiga mata penuh di laman sendiri akhirnya tercapai.
Bagaimanapun katanya, masih banyak aspek permainan yang perlu diperbaiki terutama di bahagian tengah yang dilihat lambat membantu jentera serangan.
“Tahniah kepada pemain yang berusaha keras membuat kebangkitan semula selepas kalah 1-2 kepada pasukan PDRM FC tempoh hari.
“Walaupun sekadar menang 1-0, yang penting tetap tiga mata berharga yang menentukan kedudukan di liga,” katanya pada sidang akhbar selepas aksi Liga Premier menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Gol tunggal TFC II dijaringkan Jordan Mintah pada minit ke-45, sekali gus menjadikan skuad The Turtles kini menduduki tangga keempat liga di belakang Selangor ll dengan kutipan enam mata.
Sementara itu, pengendali Kelantan United, Syamsul Mohd Saad berkata, ketiadaan dua tonggak utama, Amidu Salifu dan Muhammad Haziq Subri di bahagian tengah merencatkan perancangan taktikal Kelantan United.
Selain itu jelasnya, faktor keletihan turut menyebabkan anak buahnya terpaksa bergelut untuk mencari kemenangan sepanjang 90 minit permainan.
“Salifu dan Haziq terpaksa direhatkan kerana cedera dan ini memberi impak besar kepada pasukan memandangkan mereka berdua ialah tonggak yang menghidupkan setiap perlawanan.
“Lagi pula, selepas perlawanan dengan Projek FAM-MSN di Kuala Lumpur Rabu lalu, kami terus ke sini (Kuala Terengganu). Jadi, 80 peratus pemain yang beraksi bukan dalam keadaan kecergasan 100 peratus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!