Sukan Para ASEAN ikut jadual
PERSEDIAAN untuk Sukan Para ASEAN (APG) di Solo berada di landasan tepat selepas tuan rumah Indonesia meningkatkan usaha walaupun tarikhnya kini ditunda seminggu dari 30 Julai hingga 6 Ogos yang sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 Julai.
Tarikh baharu itu juga akan bertembung dengan Sukan Komanwel 2022 dengan Malaysia, Singapura dan Brunei akan menyertai Sukan Birmingham yang dijadualkan pada 28 Julai hingga 8 Ogos.
Di Sukan Komanwel, acara sukan para disertakan bersama sukan lain. Olahraga, bola keranjang kerusi roda 3x3, berbasikal trek, powerlifting, boling padang, renang dan pingpong adalah antara sukan para yang dipertandingkan di Birmingham 2022.
Persekutuan Sukan Para Asean (APSF), selepas mesyuarat maya antara sekretariatnya yang diketuai oleh Setiausaha Agung APSF Kolonel Senior Wandee Tosuwan, dengan Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) Indonesia pada Sabtu, memaklumkan penganjur APG sedang berlumba dengan masa bagi memastikan kelancaran temasya itu dengan berbaki hampir 100 hari lagi.
"Kami sedang mengumpul sumber kami bersama-sama, bekerja secara kolektif untuk memastikan semua perkara berkaitan diurus dengan baik termasuk protokol kesihatan bagi menjamin keselamatan atlet, kontinjen dan tetamu serta penonton.
"Kami memulakan beberapa siri mesyuarat di peringkat kerja dengan NPC Indonesia bagi memastikan semua orang berada di landasan sama dengan usaha organisasi walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” kata Wandee dalam kenyataan pada Ahad.
Perkara yang dibincangkan pada mesyuarat itu termasuk mengenai sukan, bidang teknikal, klasifikasi, langkah antidoping, teknologi maklumat (IT) dan pengurusan perlawanan, rancangan media dan penyiaran, pemasaran, perundangan, protokol dan upacara, akreditasi, perkhidmatan NPC, pengangkutan dan pentadbiran permainan.
"Kami bekerjasama rapat dengan APSF untuk membantu kami menyelesaikan masalah termasuk membaik pulih beberapa kemudahan dan memastikan semua kawasan berfungsi,” kata Setiausaha Agung NPC Indonesia Rima Ferdianto.
Beliau berkata, lawatan oleh delegasi APSF untuk meninjau venue dan kemudahan lain di Solo juga sedang dirancang.
Solo, yang menggantikan Hanoi bagi tugasan edisi 2021, sebelum ini menganjurkan Sukan Para ASEAN pada 2011.
APSF dan Solo menjangkakan kira-kira 1,500 atlet akan menyertai 14 sukan - olahraga, memanah, badminton, boccia, bola sepak CP, catur, goalball, judo, powerlifting, renang, pingpong, tenis kerusi roda, bola tampar duduk dan bola keranjang kerusi roda. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!