Tiada pihak jumpa K-KOMM berkaitan platform penyiaran debat

Annuar (dua, kiri) beramah mesra sambil menyampaikan sumbangan kepada pelajar dari Madrasah Tahfiz Fathur Rahman Jalan Taming Sari pada majlis Iftar Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, pada Ahad.Foto Bernama
Annuar (dua, kiri) beramah mesra sambil menyampaikan sumbangan kepada pelajar dari Madrasah Tahfiz Fathur Rahman Jalan Taming Sari pada majlis Iftar Bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, pada Ahad.Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Tiada pihak yang berjumpa dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berkaitan platform penyiaran debat perdana antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Mei ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu tidak ada kena-mengena dengan kerajaan dan menganggapnya sebagai debat antara dua individu.

"Jadi kerajaan tidak campur dan saya pun tidak didatangi oleh sesiapa. Saya fikir ia masih lagi di peringkat antara dua individu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar MenKOMM bersama komuniti negeri Melaka di sini, pada Ahad.

Hadir sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Mengulas mengenai penggunaan media sosial atau platform digital terkini, Annuar berkata beliau tidak menolak perkara itu dijadikan platform penyiaran bagi debat tersebut.

"Terknologi sekarang boleh saja buat ‘live’ dan mungkin ada stesyen televisyen yang hendak memberi platform itu. Apa pun, itu kemudianlah. Tak boleh kata mungkin (boleh) sebab mungkin itu dah jadi satu janji (untuk disiarkan di platform kerajaan). Saya anggap ia debat biasa antara dua individu," katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan kedua-dua tokoh politik negara itu akan membincangkan isu Sapura Energy Bhd (SEB) dan masa depan Malaysia pada 12 Mei ini dalam program debat perdana.

Pengumuman program debat perdana itu dibuat Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil dalam satu sidang media petang tadi.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, debat perdana itu akan dapat disaksikan secara langsung sama ada menerusi saluran media diumumkan kemudian atau secara fizikal di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.

Terdahulu, Annuar mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam di pejabat beliau di Seri Negeri bagi memberi penerangan mengenai usaha-usaha K-KOMM di Melaka.

"Saya juga memaklumkan bahawa sambutan Hari Wartawan Nasional akan diadakan di Melaka tahun ini,” katanya yang dipetik menerusi ciapan di laman Twitter rasminya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!