TFC jinakkan Sarawak di Kuching
TERENGGANU FC (TFC) meraih tiga mata pertama selepas mengharungi tiga perlawanan setelah menewaskan Sarawak United 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Ahad
Dua gol disumbangkan pemain import The Turtles, Kpah Sherman pada minit kelapan diikuti jaringan minit ke-92 pemain gantian, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle menghadirkan kemenangan pertama buat kelab pantai timur tersebut.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Nafuzi Zain naik ke tangga ke-10 liga dengan tiga mata manakala Sarawak United pula di kedudukan tercorot liga dengan satu mata selepas mengharungi lima perlawanan.
Sementara itu di Pasir Gudang, Johor Darul Ta’zim (JDT) II meraih tiga mata apabila menumpaskan Kuching City FC, 3-1 di Stadium Pasir Gudang.
Penyerang import JDT II, Fernando Rodriguez menjaringkan gol pertama pada minit ke-19, sebelum Adam Nor Azlin (54') dan Moussa Sidibe (67') melebarkan kedudukan tuan rumah.
Pemain Kuching City, Alif Hassan, bagaimanapun berjaya merapatkan jurang pada minit ke-61, tetapi ia ternyata sudah terlewat untuk menyekat kemenangan JDT II.
Kemenangan itu menyaksikan JDT II semakin mengukuhkan kedudukan pada tangga kedua Liga Premier ketika ini dengan meraih 12 mata setelah mengharungi lima perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!