Teknologi pemisah raya dulu, sekarang
PERKEMBANGAN teknologi digital yang semakin pesat menyebabkan kemeriahan sambutan Aidilfitri berbeza dulu dan sekarang.
Perubahan teknologi menjadikan suasana raya pada zaman sebelum kewujudan pelbagai aplikasi sembang maya amat dirindui.
Mengimbau kenangan lalu sebelum lebaran tiba, tentunya kiriman kad raya sesuatu yang cukup istimewa.
Tradisi yang semakin dilupakan itu tentunya menggamit kenangan apatah lagi menunggu kiriman kad raya yang sarat dengan ucapan dan pantun yang menyentuh perasaan.
Setiap kali ‘abang posmen’ datang ke rumah, pastinya hati berbunga menunggu kad raya pelbagai versi termasuk penggunaan bateri yang boleh berbunyi dan berlampu.
Sudah tentu, berbalas kiriman kad raya sesuatu yang amat dinantikan tak kira diberikan kepada perantau jauh di mata, rakan taulan, sanak-saudara atau jiran tetangga.
Masih teringat zaman dahulu, kad raya yang diterima digantung dan dihias dengan cantik di dinding rumah.
Tetamu yang datang sambil menikmati juadah kuih-muih sempat membaca tulisan puitis pengantar kad raya yang menyentuh perasaan.
Kenangan kad raya tentunya kekal di ingatan, malah penulis sendiri kali terakhir menerima kad raya daripada sahabat pada tahun 2007.
Sejak itu, ucapan raya diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang kemudiannya muncul kad raya elektronik yang dikirim menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook.
Selain kad raya, apa yang dinanti semasa lebaran tentunya duit raya yang diterima daripada ibu bapa, kunjungan ke rumah tetamu dan sanak saudara.
Dahulu nilai 50 sen atau RM1 pada tahun 1990-an cukup bermakna kerana wang itu akan dikumpul untuk membeli barangan yang diingini.
Pemberian duit raya ini menunjukkan rasa bahagia antara kita dan akan membandingkan dengan rakan serta adik beradik berapa jumlah terkumpul.
Sampul raya yang diterima dengan pelbagai rekaan corak menarik juga akan disimpan dengan kemas.
Tetapi, teknologi ketika ini semakin berubah dan tidak mustahil suatu hari nanti duit raya akan dipindahkan kepada penerima melalui perbankan internet.
Bukan sahaja nilai wang diterima berganda, malah urusan pemberian duit raya juga semudah 'klik' sahaja akibat perkembangan pesat dunia digital.
Selain itu, jika raya dahulu, golongan ibu sibuk menyediakan ketupat, nasi impit dan rendang di dapur, tetapi berbeza apabila kebanyakannya memilih untuk membeli sahaja sama ada melalui kenalan atau di dalam talian.
Bagi golongan masa kini, mereka berdepan kekangan masa dan tidak mahu berpenat di musim perayaan.
Raya zaman kanak-kanak juga mengeratkan silaturahim antara sepupu apabila bersama-sama menonton televisyen rancangan kegemaran dan bermain bunga api apabila pulang ke kampung.
Mana tidaknya, peluang berjumpa setahun sekali itu adalah ruang untuk kita bertemu saudara mara yang menetap berjauhan.
Tetapi berbeza zaman sekarang, apabila anak-anak lebih suka bersendirian dan tertumpu kepada permainan dalam telefon masing-masing.
Kerinduan terhadap nostalgia zaman dahulu yang semakin dilupakan ialah tradisi kunjung-mengunjung di rumah jiran dan pusing keliling kampung.
Sudah tentu waktu itulah kita hendak merasa pergi beraya di mana-mana rumah yang hendak kita singgahi.
Biasanya, aktiviti beraya itu dilakukan bersama dengan rakan yang tujuannya untuk berziarah dan mengutip duit raya.
Tetapi, pada masa kini terutama selepas negara dilanda pandemik, aktiviti ziarah seperti itu tidak lagi dijadikan amalan.
Malah, pada musim pandemik ini, kita juga jarang berziarah di rumah sanak-saudara dan kenalan, sebaliknya lebih selesa melepaskan kerinduan hanya kiriman gambar raya atau membuat panggilan video.
Penggunaan teknologi digital ketika pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu terutama dalam kalangan rakyat di negara ini semakin meningkat.
Orang ramai sudah mula celik teknologi digital daripada kanak-kanak hingga mereka yang sudah berusia.
* Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah wartawan Sinar Harian Selangor/KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!