Platform kongsi idea, teknologi pertahanan baharu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang akan membuka tirai pada 26 Mac ini, bakal menjadi platform untuk pemain industri pertahanan tempatan, terus berkongsi idea serta teknologi dengan industri pertahanan baharu dan terkemuka di seluruh dunia.

Program dwitahunan sehingga 30 Mac itu yang telah diadakan hampir tiga dekad ini akan menjadi penanda aras bahawa Malaysia mampu untuk menganjurkan pameran pertahanan bertaraf dunia.

Keyakinan itu menjadi sandaran Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang percaya, industri pertahanan tempatan mampu memberi kesan kepada ekonomi negara menerusi sektor pekerjaan, pembangunan kemahiran dan penembusan rantaian pembekalan global.

“Untuk jangka masa panjang, kita berharapkan agar Malaysia menjadi destinasi utama dalam hab pasaran pertahanan ASEAN dan menarik pelabur luar untuk membuat pelaburan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan bertulis kepada Bernama.

Mohamad positif bahawa LIMA'19 yang diadakan di Langkawi, Kedah, pulau bersejarah dan destinasi pelancongan terkenal itu, mampu mencapai objektif dalam memberi pelaburan yang tinggi dan pelbagai manfaat kepada pempamer dan pelawat yang hadir melalui program-program rantaian perniagaan yang telah dirancang.

Menyentuh mengenai keunikan LIMA'19 berbanding edisi lepas pada 2017, Mohamad menarik perhatian, LIMA‘19 kali ini amat bermakna kerana ia dijangka dirasmikan Tun Dr Mahathir Mohamad, pencetus idea acara hebat ini, yang telah membukanya semasa edisi pertama pada 1991 sewaktu menjadi Perdana Menteri keempat.

Bercakap mengenai LIMA, perhatian juga akan terarah kepada ruang udara Langkawi yang bakal menjadi bingit dengan gegak-gempita pelbagai pesawat pejuang tempur dari dalam dan luar negara membelah awan dalam aksi mereka nanti.

Bagi segmen pertunjukan udara, Mohamad berkata pasukan aerobatik Jupiter daripada Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) disahkan akan beraksi pada LIMA’19 ini selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pasukan aerobatik Malaysia iaitu Krisakti yang menggunakan pesawat Extra 300L.

Artikel Berkaitan:

“Pesawat tanpa pemandu (UAV) Predator MQ-9B dari Amerika Syarikat dan CAIG Wing Loong dari China dan pasukan udara Russian Nights dari Rusia turut mengesahkan penglibatan.

“LIMA’19 juga dijangka menampilkan jet pejuang SU-30 MKM dan F/A-18D milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat Tejas milik Tentera Udara India (IAF) dan penerbangan lintas pesawat pengebom B-52 Tentera Udara Amerika (USAF),” katanya.

Tumpuan juga pasti terarah kepada demonstrasi maritim daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan melakukan demonstrasi khas maritim dengan kehadiran pasukan-pasukan khas kedua-dua agensi.

Mohamad berkata selain pameran aset maritim dan aeroangkasa, pameran LIMA turut menjanjikan program-program sampingan bagi menarik kehadiran pelawat perdagangan dan pelawat awam ke pameran berprestij ini seperti karnival kerjaya dalam sektor pertahanan yang akan berlangsung di Resort World, Langkawi.

Pameran LIMA juga turut merancakkan industri pelancongan tempatan dengan memberikan satu bentuk daya tarikan kepada pelancong tempatan dan luar negara untuk terus berkunjung ke Malaysia di samping meletakkan Langkawi dan Malaysia sebagai destinasi Meetings, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) yang utama di Asia.

Justeru, Mohamad percaya, penganjuran Pameran LIMA ini dapat menarik kira-kira 44,000 pelawat perdagangan bersama hampir 250,000 pelawat awam ke Pulau Langkawi sekali gus memberi pulangan kepada sektor pelancongan negara.

Pameran LIMA’19 kali ini disertai 350 syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa yang melibatkan 20 negara, diadakan di dua lokasi iaitu Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Pengisian LIMA’19 yang disasarkan oleh penganjur adalah merangkumi 60 peratus pameran pertahanan dan baki 40 peratus adalah untuk syarikat komersial.

Sehingga kini, sebanyak 173 syarikat antarabangsa dan 181 syarikat tempatan telah mengesahkan penyertaan.

Turki menjadi pempamer terbesar apabila menempah pavilion mencecah 730 meter persegi diikuti Rusia 697 meter persegi.

“Penyertaan syarikat tempatan terbesar pula didahului BHIC AeroServices Sdn Bhd, National Aerospace and Defence Industries Bhd (NADI), Muhibbah Engineering dan Sapura Group,” kata Mohamad.

Pameran persidangan antarabangsa, seminar, pameran statik dan pertunjukan udara akan diadakan di MIEC manakala pameran kapal perang, pameran statik maritim dan demonstrasi maritim di RWL. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!