Terengganu sasar kutipan zakat RM230 juta tahun ini
KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyasarkan peningkatan 15 peratus kutipan zakat tahun ini iaitu RM230 juta berbanding RM205 juta (10.8 peratus) yang diperoleh tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, sasaran peningkatan 15 peratus itu berdasarkan perkembangan ekonomi yang semakin baik pada 2022.
"Kutipan ini perlu ditingkatkan kerana terdapat keperluan yang semakin meningkat terutamanya dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.
"Setakat April 2022, kita telah berjaya kutip hampir RM51 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak 96 peratus iaitu RM48.1 juta telah diagihkan kepada golongan asnaf di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kaunter zakat pandu lalu Maidam di sini, pada Isnin.
Menurutnya, Maidam menyediakan kaunter bayaran zakat secara pandu lalu bagi memudahkan umat Islam menunaikan bayaran zakat fitrah secara lebih mudah dan teratur.
Katanya, kaunter berkenaan akan beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada setiap hari bekerja di pekarangan pejabat Maidam bermula Isnin hingga akhir Ramadan.
"Kita menyediakan kaunter bayaran zakat pandu lalu bagi meraikan mereka yang lebih cenderung menggunakan pendekatan bayaran zakat secara bersemuka. Melalui kaedah ini, pembayar zakat boleh menunaikan zakat di kaunter pandu lalu zakat Maidam sama ada secara tunai, kad kredit, debit atau cek.
"Pembayaran zakat dilakukan dari kenderaan ini secara tidak langsung adanya penjarakan fizikal. Mereka juga tidak perlu bersalaman ketika urusan pembayaran dan boleh segera beredar sebaik urusan selesai," katanya.
Beliau berkata, selain kaunter berkenaan, terdapat 976 amil yang bertanggungjawab membuat kutipan zakat fitrah di lapan daerah di Terengganu.
Katanya, seramai 239 amil dilantik bagi kutipan zakat di Kuala Terengganu, Kemaman (115), Dungun (102), Marang (92), Hulu Terengganu (106), Kuala Nerus (135), Setiu (63) dan Besut (124).
"Setiap amil yang dilantik bertanggungjawab membuat kutipan di masjid atau surau yang telah ditauliahkan oleh Maidam sebagaimana permohonan kawasan atau tempat oleh amil-amil.
"Jadi, semua amil dilarang membuat kutipan di tempat awam seperti bazar Ramadan, pasar dan pasar raya memandangkan keperluan umat Islam menunaikan zakat dan fitrah lebih tertumpu di masjid dan surau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!