'PRU sepatutnya diadakan sejak awal Langkah Sheraton'

Mohd Shafie menyampaikan sumbangan kepada penduduk ketika hadir pada majlis berbuka puasa dan solat tarawih berjemaah di Masjid Al-Falah, Kampung Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie menyampaikan sumbangan kepada penduduk ketika hadir pada majlis berbuka puasa dan solat tarawih berjemaah di Masjid Al-Falah, Kampung Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pilihan Raya Umum (PRU) sepatutnya sudah diadakan sejak dari awal Langkah Sheraton dilakukan, kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, siri peralihan kuasa tidak akan berlaku sekiranya PRU dilaksanakan selepas Langkah Sheraton dulu.

"Pilihan raya sepatutnya diadakan daripada bermulanya Langkah Sheraton, peralihan-peralihan ini tidak mungkin jadi budaya menstabilkan negara.

"Kita nampak keyakinan masyarakat dalam negara malah di luar negara yang tidak yakin dengan negara ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan solat tarawih berjemaah di Masjid Al-Falah, Kampung Tebobon Manggatal, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung jangkaan UMNO Sabah bahawa PRU15 akan diadakan tahun ini juga selepas tamatnya memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau lagi, bagi Warisan ia adalah mandat rakyat untuk tentukan siapa memerintah dan bukannya milik Barisan Nasional (BN).

"Bila-bila masa sebenarnya (PRU), bagi pihak Warisan ini adalah mandat rakyat dan bukan mandat BN. Bukan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

"Bagi pendapat saya, sepatutnya tidak harus kita biarkan BN memerintah negara Malaysia ini kerana mereka tidak mempunyai mandat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, rakyat mengundi supaya parti itu memerintah dan bukannya menyerahkan kuasa kepada BN.

"Jadi ini satu perkara yang kita harus ingat bahawa keyakinan rakyat terhadap kita perlu kita sedari, yang kita diminta jadi wakil rakyat jadi pemerintah, maka kita harus perintah negara ini sebaik mungkin.

"Jangan kita serahkan (mandat), pilihan raya sepatutnya diadakan daripada mula Langkah Sheraton," tegasnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!