Polis rampas dadah 120 kilogram bernilai RM4.6 juta
KOTA BHARU - Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan menahan tujuh individu termasuk sepasang suami isteri sekali gus merampas lebih 120 kilogram dadah bernilai RM 4.6 juta di Kelantan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dilakukan di Tumpat, Rantau Panjang dan Kota Bharu pada Jumaat serta Sabtu lalu oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kelantan.
“Serbuan pertama dilakukan di Pengkalan Chepa pada jam 8.15 malam membabitkan pasangan suami isteri yang bekerja sebagai juruteknik dan pendandan rambut.
“Sejumlah dadah dipercayai pil kuda ditemui bersama suspek dan rentetan itu lima lagi serbuan dilakukan membabitkan penahanan ahli sindiket sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Menurut Ayob Khan, pemeriksaan di enam lokasi serbuan menjumpai syabu berjumlah 101.5 kilogram (kg); pil kuda (19 kg) dan cecair ubat batuk kodein (4 liter).
“Kesemua suspek berusia antara 25 dan 46 tahun ditahan. Sindiket dipercayai aktif bermula Disember tahun lalu dengan menggunakan modus operandi menyeludup masuk bekalan dadah melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan dadah bernilai RM 4.6 juta yang dirampas itu boleh digunakan lebih 600,000 orang penagih dadah jika terlepas ke dalam pasaran gelap,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek tersebut mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagaimanapun ujian urin kesemua suspek didapati negatif dadah.
“Polis turut menyita pelbagai aset termasuk kereta, pacuan empat roda, motosikal berkuasa tinggi, barangan kemas dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM538,943.50,” katanya.
Tambah Ayob Khan, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bermula 16 sehingga 22 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!