Sumbang lebih 6.5 juta pelitup muka, kelengkapan tangani Covid-19

Dian (kanan) beramah mesra bersama salah seorang penerima bantuan kotak makanan di Kampung Parit Kangkong, pada Ahad
Dian (kanan) beramah mesra bersama salah seorang penerima bantuan kotak makanan di Kampung Parit Kangkong, pada Ahad
A
A
A

BATU PAHAT - Lebih 6.5 juta pelitup muka bersama kelengkapan menangani Covid-19 disumbangkan oleh Bantu-Bantu Malaysia sejak penularan Covid-19 pada tahun 2020.

Penggerak utama Bantu-Bantu Malaysia, Dian Lee Cheng Ling berkata, usaha itu dilancarkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial susulan negara menghadapi masalah kekurangan pakaian perlindungan diri (PPE) dan pelitup muka.

"Pada fasa permulaan, bantuan disalurkan merangkumi keperluan di beberapa hospital awam dan pusat perubatan di seluruh negara ini. Bantu-Bantu Malaysia telah membawa masuk kira-kira 6.5 juta pelitup muka dan 640 gaun bedah yang disumbangkan kepada Hospital Sungai Buloh.

"Kami turut menyumbang dua unit alat bantuan pernafasan (ventilator); 300 unit PPE; 20,000 pelitup muka perubatan dan 3,000 pelitup muka N95 bagi hospital sama," katanya selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyerahkan sumbangan kotak makanan keperluan harian kepada 200 ketua isi rumah di Kampung Parit Kangkong dan Kampung Parit Bandan, pada Ahad.

Menurutnya, sumbangan pelitup muka dan PPE ini turut disalurkan kepada beberapa hospital lain melibatkan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Putrajaya, Hospital Shah Alam, Hospital Kota Bahru, Hospital Pantai, Hospital Ipoh dan Hospital Kuala Lumpur.

Tambah Dian, inisiatif kotak makanan yang dilancarkan pula akan disumbangkan kepada individu memerlukan melibatkan golongan asnaf, kurang berkemampuan atau masih terkesan akibat Covid-19.

Katanya, sejak dilancarkan pada tahun 2020, bantuan seperti beras, gula pasir, tepung, makanan segera, minyak masak serta pelitup muka itu sudah memanfaatkan lebih 1.5 juta isi rumah di seluruh negara.

“Sehingga kini, kami telah mengedarkan sebanyak 10,000 kampit beras dan bungkusan makanan yang turut disalurkan melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan; Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO.

Artikel Berkaitan:

“Pada Jun 2020 ketika negara masih dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sebanyak 10,000 bungkusan makanan disalurkan kepada golongan tidak berkemampuan (B40) yang tinggal dalam komuniti veteran tentera,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sempena Ramadan tahun ini, Dian memaklumkan, pihaknya memilih Batu Pahat sebagai lokasi permulaan bagi inisiatif tersebut.

"Inisiatif di Batu Pahat ini sejajar dengan semangat berkongsi rezeki pada bulan Ramadan selain mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak termasuk NGO tempatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!