UMNO harus ikhlas sokong Ismail Sabri sebagai calon PM
GEORGETOWN - UMNO harus memberi sokongan ikhlas kepada Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bersetuju mencalonkan beliau sebagai bakal Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, beliau yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang besar untuk membentuk semula kerajaan jika semua anggotanya terutama di kalangan pemimpin ikhlas dan mahu melihat semula UMNO menunjangi kerajaan pada PRU15.
Menurutnya, keputusan MKT UMNO sebulat suara bersetuju supaya Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri itu adalah satu keputusan yang bijak dan berpandangan jauh demi kepentingan parti.
"Isu sama ada Ismail Sabri akan menjadi Presiden parti dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak harus dipolemikkan dan biarlah anggota parti tentukan pada pemilihan parti akan datang.
"Ismail Sabri telah membuktikan kemampuannya menjadi Perdana Menteri sekarang dan beliau juga menunjukkan sikap merendah diri dengan menghormati hierarki parti," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Yussof berkata, kini fokus harus diberi untuk memenangi PRU15 dan untuk menang UMNO harus rapatkan semula saf selain perlu singkirkan mereka yang menjadi toksik, 'katak-katak' dan maafkan mereka yang terkhilaf atau telah insaf.
Katanya, dalam masa yang singkat Ismail Sabri telah meyakinkan negara-negara ASEAN untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan juga telah meyakinkan rakyat Malaysia khasnya orang-orang Melayu.
Beliau berkata, setakat ini rakyat telah selesa dengan kepimpinan Ismail Sabri kerana kesederhanaannya dan beliau memang layak jadi 'poster boy' sebagai Perdana Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!