Van bawa 17 PATI warga Kemboja terbabas
TUMPAT - Seramai 17 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Kemboja yang baru menyeludup masuk ke negara ini ditahan bersama tekong selepas van dinaiki terbabas berdekatan Pangkalan Haram Pasir, Pengkalan Kubur, di sini pada Ahad.
“Apabila dihampiri untuk pemeriksaan, pemandu juga tekong tiba-tiba bertindak memecut kenderaan dan hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan berpaya tidak jauh dari tebing sungai pangkalan haram tersebut.
“Pemandu melarikan diri, namun hasil kecekapan polis bertindak pantas dapat menahan lelaki warganegara Malaysia berumur 31 tahun itu yang agresif mahu melepaskan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Azhari berkata, hasil pemeriksaan ke atas van menemukan 17 lelaki warganegara Kemboja di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
“Kesemua individu yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki Malaysia dari Thailand melalui laluan yang tidak diwartakan.
“Pemandu yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penghantar yang mendapat upah RM250 bagi setiap trip penghantaran,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam van turut menjumpai satu kotak berwarna hitam mengandungi 10 bungkusan plastik lut sinar mengandungi 95 biji pil berwarna kemerahan dipercayai dadah jenis pil kuda disembunyikan di bahagian pemijak kaki pemandu.
“Dadah berkenaan dipercayai turut dibawa masuk dari Thailand untuk dipasarkan di sekitar Pengkalan Kubur.
“Turut dijumpai wang tunai berjumlah RM6,227 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM30,177,” katanya.
Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“PGA terus komited memastikan sempadan negara tidak dibolosi dengan meningkatkan rondaan, pemantauan dan memperketatkan kawalan di sekatan jalan raya (SJR) terutama menjelang musim perayaan kerana dipercayai berlaku peningkatan permintaan kepada barang-barang seludup seperti barangan runcit, rokok dan mercun serta tenaga buruh.
“Masyarakat diharap dapat menjadi mata dan telinga kepada penguatkuasa untuk menyalurkan segala maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!