Mike taruhan skuad bina badan raih emas di Hanoi

Mohd Syarul Azman
Mohd Syarul Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah menjadi sandaran tunggal Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), untuk merangkul pingat emas pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini.

Mohd Syarul yang lebih mesra dengan panggilan Mike akan turun bertanding memburu pingat emas acara ‘Men's Athletics Physique’, yang merupakan salah satu daripada dua acara disertai beliau selain ‘Mixed Pair’ di Hanoi.

Walaupun berhadapan cabaran tersendiri bertanding dalam kategori terbuka selain saingan sengit yang bakal diberikan atlet tuan rumah dan Thailand, penolong jurulatih skuad bina badan negara, Riduan Anan percaya Mike mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik.

"Dua negara (Thailand dan Vietnam) ini yang biasanya memberi saingan kepada atlet negara di pentas kejohanan antarabangsa, tetapi sekarang masing-masing tak tahu keadaan lawan selepas dua tahun tak keluar bertanding, jadi kita harap keadaan Mike yang terbagus antara semua,” katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil di sini pada Isnin.

Selain sasaran satu emas, skuad bina badan negara turut menyasarkan membawa pulang dua pingat perak dan tiga gangsa, pada temasya sukan dwitahunan itu yang turut menyaksikan sukan bina badan kembali membuat kemunculan, selepas kali terakhir dipertandingkan pada edisi 2013 di Myanmar.

Pada edisi terakhir itu, Malaysia meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa, namun Mike yang juga juara dunia kategori Athletics Physique empat kali berturut-turut sejak 2016, tidak turut serta kerana kategorinya tidak disenaraikan.

Sukan bina badan turut tidak dipertandingkan di Kuala Lumpur pada 2017, berikutan PBBM tidak mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), apabila tempoh rayuan dibuka sebelum Malaysia memuktamadkan senarai sukan pada temasya itu.

Justeru, Mike yang bakal membuat penampilan pertamanya di Sukan SEA kini diselubungi perasaan bercampur baur, antara teruja dan gementar terutama mengenai cabaran bakal dihadapinya.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya cabaran memang dari Thailand dan Vietnam. Thailand ada juara dunia 2019 kategori lain dan ketika saya menang juara dunia 2019, naib juara ketika itu adalah dari Vietnam. Jadi cabarannya boleh dikatakan agak sukar, tetapi saya akan beri yang terbaik dan cuba dapatkan emas untuk negara.

"Dalam kategori terbuka saya perlu nampak lagi ‘tebal’ di atas pentas, saya tak boleh nampak kecil sebab saya tahu lawan saya lagi tebal dan berat. Saya dah biasa naik ke pentas dengan berat badan 69 kilogram (kg), tetapi kali ini saya sasar berat antara 72-73 kg dan ia bukan benda yang senang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!