USM rakam ucapan takziah kemalangan di Gerik
KOTA BHARU - Universiti Sains Malaysia (USM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan di Gerik, Perak, semalam.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Aldrin Abdullah yang mewakili pengurusan tertinggi universiti menzahirkan rasa dukacita dan sedih dengan insiden tersebut.
"Pihak USM termasuk kakitangan dari Kampus Induk dan Kampus Kesihatan bersama-sama pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) turut digerakkan untuk membantu dan menziarahi mangsa.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu maut, 8 penuntut USM terselamat
"Ini termasuk juga kaunselor USM yang membantu mangsa dengan kejadian tersebut. Bagi pihak kami, Universiti akan melihat hal ini dengan teliti untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
"Marilah kita sama-sama berdoa agar semua mangsa dilindungi ALLAH SWT dan sedekahkan Alfatihah kepada pemandu yang meninggal dunia.
"Kami juga merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga pemandu yang terlibat," kata dalam satu kenyataan disini.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, kenderaan yang membawa lapan orang pelajar dan dua pemandu itu dalam perjalanan balik ke Kampus Kesihatan Kelantan dari Kampus Induk, Pulau Pinang selepas selesai menjalani Latihan Tempatan PALAPES USM.
Pemandu kenderaan berkenaan dilaporkan maut di tempat kejadian manakala mangsa lain dikejarkan di Hospital Gerik untuk rawatan. Semua mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan stabil sehingga kini.
Dalam kenyataan yang sama, USM juga berkata pihaknya akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu mangsa-mangsa tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!