Pokok kelapa hempap dapur rumah warga emas
LIPIS - Dugaan Ramadan buat seorang warga emas selepas dapur rumahnya dihempap sebatang pokok kelapa pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa Aziz Jalaman, 74, yang tinggal berdekat jalan stesen keretapi Kuala Lipis dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.
"Ketika kejadian saya sedang tidur dan memang waktu itu hujan lebat. Saya terdengar bunyi dentuman macam petir yang sangat kuat dan sebaik tersedar, saya lihat pokok tersebut telah tumbang dan menghempap bahagian atap dapur rumah.
"Saya memang terkejut apabila melihat keadaan dapur rumah, namun bersyukur kerana tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dia yang tinggal seorang diri ketika kejadian memberitahu, pokok tersebut telah dialihkan dan dibersihkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira jam 11.30 pagi pada Isnin.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Azhar Jusof memberitahu, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit membersihkan pokok terbabit di rumah mangsa.
Jelasnya, seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi tersebut selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.15 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!