Namakan calon Perdana Menteri bukan keutamaan PH: Anwar
PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bukan menjadi keutamaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini untuk menamakan calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau poster boy mewakili gabungan parti itu.
Beliau sebaliknya menjelaskan, menyantuni dan membantu rakyat merupakan perkara terpenting yang perlu diberi perhatian.
Namun, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengakui namanya masih lagi calon tunggal untuk menjadi pemimpin nombor satu negara sekiranya PH berjaya merampas pentadbiran negara pada pilihan raya akan datang.
“Setakat ini saya tidak lihat ada apa-apa perubahan (nama calon Perdana Menteri PH) tapi saya tidak fikir ini keutamaan kerana keutamaan kita adalah menyantuni dan meyakinkan rakyat terhadap kita (PH).
“(Bagaimanapun) kita boleh bincang (siapa calon Perdana Menteri dan) bagi saya tiada masalah, cuma pada pendapat saya bukan keutamaan (buat masa ini).
“Walaupun pada umumnya PKR sudah tahu calonnya, DAP juga sudah umumkan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam perbualannya dengan saya setakat ini tidak ada perubahan (calon Perdana Menteri).
“Tetapi saya fikir ia (umum calon Perdana Menteri) bukan satu kewajaran atau keutamaan sekarang ini,” katanya dalam wawancara khas di pejabatnya di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah beliau masih kekal sebagai poster boy untuk PH dalam PRU15 akan datang.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, politik di Malaysia memerlukan perubahan baharu dengan merangkul kepentingan semua dan bukannya memperjuangkan hak atau kepentingan golongan tertentu semata-mata.
Jelasnya, negara perlu memperbetulkan semula amalan politik yang salah demi membina masyarakat dan negara yang lebih baik pada masa depan.
“Politik yang bergelumang dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, keangkuhan perkauman yang sempit ini harus diganti dengan politik baharu dan politik baharu harus merangkul semua pihak.
“Saya secara konsisten menyebut bahawa amalan memperkotak-katikkan, Melayu lawan Cina, kemudian muda lawan tuan, wanita lawan lelaki dan sebagainya tidak ada (dalam amalan politik yang betul),” katanya.
UMNO sebelum ini sebulat suara memutuskan untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini turut mencadangkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!