Tiada perbincangan 'khemah besar pembangkang': Anwar
PETALING JAYA - Tidak timbul soal hala tuju Parti keadilan Rakyat (PKR) melalui pemilihan bulan Mei ini, bakal melibatkan polemik idea 'khemah besar pembangkang' kerana keutamaan parti adalah untuk mengukuhkan kekuatan induk parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, PH jangan bersikap terlalu angkuh untuk tidak membincangkan perkara itu dengan pihak lain, asalkan mereka bersedia tunduk dengan agenda PH.
Jelas beliau, idea pembentukan khemah besar pembangkang itu diakui pernah dibincangkan parti-parti dalam PH terutamanya Parti Amanah Negara (Amanah) kerana beliau sebagai Pengerusi PH tidak boleh melarang rakan-rakan pemimpin PH lain membicarakannya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan ahli-ahli PKR untuk tidak terbawa-bawa dengan retorik khemah besar pembangkang sewaktu kempen pemilihan parti berlangsung.
Tambah Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu, ini kerana kempen ini dibangkitkan seolah-olah cuba mempersoalkan kepimpinan parti sama ada mahu lari daripada prinsip asal PH, tunduk kepada parti-parti pembangkang lain atau sekadar bertujuan menyinggung calon-calon pemilihan lain.
"Soal khemah besar pembangkang, berdasarkan kenyataan parti dan saya sendiri, tidak timbul dan tidak relevan. Saya sendiri, Presiden PKR tidak meneruskan perbincangan kerana keutamaan kita adalah untuk mengukuhkan semangat dan kekuatan induk parti dalam PH termasuk Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
"Tetapi saya tegaskan kita jangan terlalu angkuh untuk mengatakan tidak boleh berbincang soal itu dengan orang lain, asalkan mereka tunduk kepada agenda PH.
"Ini kerana pengalaman lalu sewaktu pentadbiran kerajaan PH dipimpin (bekas Perdana Menteri PH) Tun Dr Mahathir (Mohamad) lalu sangat mengguriskan perasaan. Bagi kita, banyak perkara dilakukan menyimpang dengan pendekatan kita meskipun ada juga perkara bagus tidak dinafikan turut dibuat," katanya dalam satu temu bual khas bersama Sinar Harian, The Vibes dan Malaysiakini di pejabat Presiden PKR di Jalan Gasing di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu wawancara eksklusif bersama SInar Premium mendedahkan pemilihan PKR penggal 2022-2025 bakal menentukan hala tuju parti mendepani PRU15 sama ada berkompromi dengan idea khemah besar pembangkang atau kembali kepada citra kemenangan PH pada PRU14 iaitu dengan mengamalkan politik menjaga kepentingan rakyat.
Rafizi secara terbuka dan lantang menentang idea pembentukan khemah besar pembangkang termasuk cadangan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN), manakala Saifuddin didakwa bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebagai pemimpin menyokong idea berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut berpandangan definisi sebenar di sebalik kempen pembentukan khemah besar pembangkang perlu dirungkai agar kefahamannya tidak lari daripada prinsip perjuangan PH.
Jelas beliau, PKR dan PH tidak mungkin boleh menerima idea itu sekiranya koalisi itu perlu tunduk kepada kepimpinan parti-parti pembangkang lain.
"Tetapi kalau hanya bermaksud kita sekadar membincangkan strategi membina kekuatan pembangkang supaya tidak dilihat terlalu tajam permusuhan sesama pembangkang, tu mungkin boleh meskipun tidak boleh dianggap sebagai 'khemah besar'.
"Kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan dan dengar pendapat semua pihak. Akhirnya jemaah kepimpinan (PKR) harus memutuskan dan kemudiannya berunding dengan rakan-rakan dalam PH khususnya DAP dan Amanah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!