Khianat: Pekerja restoran dipenjara, denda

Chee Kang (tengah) dipenjara tiga tahun dan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan melakukan khianat.
Chee Kang (tengah) dipenjara tiga tahun dan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan melakukan khianat.
A
A
A

MELAKA - Padah melakukan perbuatan khianat menggunakan api, seorang pekerja restoran menerima balasan dipenjara tiga tahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Isnin.

Tertuduh Pua Chee Kang, 39, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin dan Hakim Maziah Joary Mohd Tajuddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama di hadapan Hakim Nariman, tertuduh didapati melakukan khianat menggunakan api sehingga menyebabkan kebinasaan kediaman seorang individu 6 Februari tahun lalu di Taman Krubong Utama.

Tertuduh yang merupakan bapa enam anak didapati menggunakan api sehingga menyebabkan kebinasaan dua buah motosikal serta sebuah kereta Perodua Bezza selain kerosakan parkir rumah kediaman individu terbabit sehingga kerugian RM15,000.

Perbuatan itu dilakukan Chee Kang kira-kira jam 4.30 pagi pada 18 Februari 2021 di lokasi sama.

Sementara itu, dua pertuduhan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary, tertuduh bersama seorang rakan, Chiong Nyong Mok didakwa bersama-sama melakukan khianat menggunakan api sehingga menyebabkan kerosakan sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam pada 9 Mac 2021.

Nyong Mok bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Chee Kang juga didapati melakukan satu lagi kesalahan lain membabitkan sebuah lagi kediaman di Taman Malim Jaya pada 17 Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesemua pertuduhan itu dia didakwa di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Hakim Maziah Joary memerintahkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan di hadapannya, manakala Nariman menetapkan hukuman penjara tiga tahun penjara dan denda RM10,000 bagi setiap dua lagi pertuduhan.

Nariman juga menetapkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah kemudian memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 19 Mac tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim, Intan Lyiana Zainal Abidin dan Anis Najwa Zahari manakala tertuduh diwakili peguam Amritpal Singh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!