Propaganda kecurigaan Melayu luar bandar terhadap DAP masih menebal
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui propaganda kecurigaan pengundi Melayu khususnya di luar bandar terhadap DAP masih lagi menebal.
Bagaimanapun katanya, PKR tetap komited untuk terus bersama DAP yang merupakan rakan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) demi prinsip.
“Saya pernah luahkan pendapat saya kepada DAP (dan DAP) cuba sedaya upaya juga (untuk meyakinkan Melayu di luar bandar kerana tertanam (ketidakpercayaan terhadap DAP) begitu tebal.
“Seperti mana juga orang Melayu fikir Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu-satunya dasar penyelamat orang Melayu. Jadi, saya komited dengan persahabatan bersama DAP.
“(Malah), sokongan orang Melayu kepada saya juga sedikit terhakis. Ada yang menanyakan kalau Datuk Seri boleh putuskan (hubungan dengan DAP itu lebih baik). Jadi (atas) sebab itu kita kena terangkan kepada mereka (prinsip KPKR untuk bersama DAP,)” katanya dalam wawancara khas di pejabatnya di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana PH akan menangani ketidakpercayaan orang Melayu luar bandar terhadap DAP.
Tambahnya, bagi menangani isu tersebut, partinya mengambil pendekatan untuk berbincang secara terbuka bagi memberi lebih kefahaman mengenai prinsip yang dibuat PKR itu.
“Bukan Melayu, khususnya Cina, (adalah) majoriti besar menyokong DAP. Jadi, kalau kita mahu negara ini selamat, bersatu, dan maju ke depan, kita harus terima kenyataan bahawa kita mesti merangkul kelompok yang dapat dokongan majoriti.
“Apatah lagi dasarnya (PH) adalah menentang rasuah, itu jelas. Integritinya juga jelas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!