Malaysia dalam proses hubungi OIC, UNSC berkaitan Palestin
PUTRAJAYA - Malaysia dalam proses menghubungi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya tindakan dapat diambil bagi menghentikan insiden kekasaran pihak berkuasa Israel terhadap umat Islam Palestin di Masjid Al-Aqsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, tindakan zalim itu perlu dihentikan supaya ia tidak berlarutan sehingga boleh membawa kepada kejadian serangan udara ke atas Gaza seperti yang berlaku pada Mei 2021.
"Jika berlarutan akan jadi macam tahun lalu, lebih ramai yang akan terkorban, cedera dan ia tidak akan membantu keamanan di sana," katanya pada sidang media selepas mengumumkan pelantikan Jawatankuasa Belia untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, di sini pada Isnin.
Saifuddin berkata, beliau juga sudah menghubungi Pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh dan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki berhubung insiden berkenaan.
"Kedua-dua pemimpin Palestin itu juga menyatakan mereka tidak mahu ia berpanjangan, mereka mahu supaya (insiden kekerasan) ini dihentikan segera," katanya.
Pada Jumaat lepas, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel yang menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat Subuh.
Susulan itu, rakyat Palestin mengadakan protes dan menyeru negara Islam melindungi Al-Aqsa. Beberapa serangan susulan juga dilaporkan berlaku di pekarangan masjid berkenaan selepas itu.
Keganasan pihak berkuasa Israel ini menimbulkan kebimbangan berulangnya tragedi serangan udara ke atas Gaza pada 10 hingga 21 Mei 2021 yang menyebabkan lebih 250 rakyat Palestin terbunuh dan 1,900 lagi cedera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!