Pekerja kilang maut kemalangan
KEPALA BATAS – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Kilometer 116.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, pada Isnin.
Mangsa, Muhammad Akmal Muhammad Radzi, 22, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam nahas yang berlaku jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dari arah Sungai Petani, Kedah menghala ke Sungai Dua melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berada di lorong kecemasan.
Jelasnya, disebabkan perlanggaran itu, mangsa terjatuh ke lorong kanan sebelum dia dilanggar sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah belakang.
“Pemandu pacuan empat roda itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Difahamkan mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Prai.
Mohd Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!