Bekas penjawat awam, kontraktor ditahan SPRM
SANDAKAN - Seorang bekas penjawat awam dan kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan nilai kontrak kira-kira RM63,000.
Dua lelaki masing-masing berusia 37 dan 41 tahun itu ditahan pada jam 11.45 pagi selepas hadir di Pejabat SPRM Sandakan untuk membantu siasatan.
Menurut sumber, dua lelaki terbabit dipercayai terlibat dengan sebuah agensi kerajaan Persekutuan di Sandakan yang dilakukan pada 2018 dan 2019.
Menurutnya, lelaki berusia 37 tahun ketika itu sebagai penjawat awam dipercayai menggunakan kedudukannya untuk melantik kontraktor terbabit sebagai pembekal produk berasaskan lebah, haiwan ternakan dan program-program lain di mana syarikat kontraktor itu dimiliki oleh saudaranya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.
"Kedua-dua lelaki tersebut dibebaskan atas jaminan SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada Khamis ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!