Selangor negeri pertama lokasi Fit Malaysia 2019
SHAH ALAM - Selangor menempa sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama dipilih dalam penganjuran Hari Fit Malaysia.
Menariknya, Fit Malaysia kali ini menerima sambutan menggalakkan dan lebih 10,000 termasuk mereka yang tinggal di Shah Alam serta kawasan sekitar menyertainya.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mengucapkan sekalung penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan apabila memilih Selangor sebagai lokasi pertama penganjuran Fit Malaysia.
"Dengan penyertaan yang sangat baik khususnya dari generasi muda di Selangor, ia menunjukkan komitmen yang sangat jelas," katanya dalam sidang media selepas hadir program Fit Malaysia yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika berucap di hadapan ribuan peserta di sini, Amirudin menegaskan Selangor perlu menjadi sebuah negeri yang sihat.
"Kita menyambut baik program Fit Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan ini, sekali gus untuk menjadikan rakyat Selangor sihat dan cergas," katanya.
Hadir sama merasmikan program Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Timbalannya, Steven Sim Chee Keong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!