Remaja OKU harumkan nama negara
KUANTAN - Berkat rajin membuat latihan renang di Sungai Belat akhirnya membuahkan kejayaan buat seorang remaja OKU apabila dia meraih pingat gangsa buat negara dalam acara renang di Kejohanan Dunia Olimpik Istimewa 2019 di Abu Dhabi, baru-baru ini.
Walaupun berada dalam kategori masalah pembelajaran (slow learner), ia tidak menjadi halangan buat Muhammad Adam Zikry Syamsul Bahri, 16, untuk mencipta nama di persada antarabangsa.
Muhammad Adam Zikry, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Pembelajaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di sini, merangkul pingat gangsa acara 100 meter renang bebas pada pertandingan yang berlangsung 19 Mac lalu.
Katanya, dia memang tidak menyangka merangkul pingat gangsa dan bersyukur kepada ALLAH SWT dengan rezeki yang dikurniakan.
Menurutnya, dia banyak memahirkan teknik renangan dengan menjadikan Sungai Belat berhampiran rumah sebagai tempat latihan.
“Saya berterima kasih kepada ibu yang percaya pada bakat saya dan dihantar berlatih secara profesional dengan jurulatih iaitu Mohd Rohaizal Mohd Rozali.
"Saya seronok dengan kejayaan ini dan akan berlatih lebih kuat lagi untuk mendapatkan pingat emas," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, di sini, semalam.
Ditanya mengenai latihan, katanya dia berlatih setiap hari kira-kira dua jam di bawah pemantauan jurulatih yang menerapkan teknik renangan gaya bebas yang betul selain disiplin.
“Saya sasar pingat emas selepas ini dalam kejohanan renang dunia bagi atlet paralimpik," katanya.
Sementara itu, ibunya, Siti Rohaida Melan, 45, berkata, inisiatif menghantar anaknya ke kelas dibuat selepas menyedari badan Muhammad Adam Zikry sering luka selepas berenang di Sungai Belat kerana terkena batu-batu sungai.
“Adam istimewa. Dia bukan macam budak lain. Untuk menguruskannya ke latihan juga sangat mencabar, terutama jika ‘anginnya’ tak baik pada hari itu.
“Sebab itu, kejayaan Adam hari ini perkara paling manis. Bukan hanya untuk dirinya tetapi buat semua yang bersama-sama dengannya sejak mula dia berenang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!