Kisah menu ‘baharu’, makanan unexpected di bazar Ramadan

Gambar hiasan - Foto fail
Gambar hiasan - Foto fail
A
A
A

TAHUN ini suasana berpuasa dirasakan ‘lebih meriah’ berbanding dua tahun lalu. Maklumlah dah boleh solat tarawih di masjid dan mengunjungi bazar Ramadan.

Namun, Merak Jalanan perhatikan isu makanan di bazar Ramadan juga ‘sama meriah’ diperkatakan.

Hampir setiap hari ada sahaja kisah suka duka dikongsi netizen mengenai juadah berbuka puasa yang dibeli di bazar Ramadan.

Ada beberapa insiden dilaporkan. Juadah yang dibeli bukan sahaja tidak boleh dimakan kerana rosak dan basi, malah memudaratkan diri menyebabkan keracunan makanan.

Jika dahulu Merak Jalanan hanya mendengar kisah ‘karipap angin’ atau nama terbaharunya ‘karipap oksigen’, kini muncul lebih banyak produk baharu sempena Ramadan tahun ini, antaranya donut bombolini oksigen.

Dari luar nampak seperti ada inti seperti coklat dan strawberi tetapi tatkala dibuka, ternyata semuanya dusta. Intinya sangat sedikit dan tidak mencukupi. Itu kisah donut.

Ada juga yang lebih hebat, antaranya nasi kerabu berulat, ayam goreng recycle, tepung pelita bersadur rambut dan terkini mi sotong berulat.

Walaupun kes-kes berkenaan hanya melibatkan segelintir peniaga di bazar Ramadan, namun ia secara tidak langsung mencemarkan imej peniaga lain.

Aspek kebersihan harus dititikberatkan. Kasihan kepada mereka yang sudah membeli tetapi makanan tercemar pula.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan nasihatkan, jika ada pembeli berdepan masalah terbeli makanan unexpected di bazar Ramadan, adalah lebih baik jika anda ambil gambar sebagai bukti, simpan sampel makanan, kenal pasti nama premis dan lapor kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan lanjut.

Apa pun, pilihan di tangan pembeli. Jika berkesempatan memasak di rumah, itu lebih baik kerana terjamin dari segi kebersihan.

Namun, jika berdepan kekangan masa dan perlu ke bazar, buatlah pilihan bijak. Paling utama, elakkan pembaziran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!