Golongan tidak berkemampuan bakal terbeban

Gambar dari kiri: Marsita, Aziz, Mohamad Hafiz, Mohd Fairuz
Gambar dari kiri: Marsita, Aziz, Mohamad Hafiz, Mohd Fairuz
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan yang akan menghentikan pemberian vaksin Covid-19 dos pertama di bawah Program Imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa.

Terdapat ibu bapa yang setuju dengan keputusan kerajaan itu mengambil kira negara sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik, manakala ada juga yang tidak bersetuju dan mengharapkan program tersebut diteruskan.

Bagi pegawai tadbir, Marsita Md Nor, 46, berkata, kerajaan perlu memastikan program tersebut terus berjalan dalam usaha memastikan semua kanak-kanak lengkap divaksin.

“Vaksin ini juga kalau perlu diambil di klinik atau hospital swasta sudah tentu agak mahal dan akan memberikan kesukaran kepada mereka yang tidak berkemampuan.

“Saya harap langkah kerajaan ini dapat dikaji semula,” katanya.

Dalam pada itu, kakitangan awam, Muhammad Azri Ghani, 32, berkata, langkah kerajaan itu disifatkan sebagai tindakan terburu-buru pada ketika masih ramai kanak-kanak yang belum mendapat vaksin.

“Ini bukanlah satu langkah tepat kerana kanak-kanak adalah antara yang paling berisiko untuk dijangkiti.

“Masalah utama sekarang adalah ibu bapa kurang yakin dan seharusnya kerajaan berusaha meyakinkan ibu bapa untuk membawa anak divaksin,” katanya.

Bagaimanapun, eksekutif makmal, Mohamad Hafiz Mezaazman, 33, pula menyifatkan langkah kerajaan itu satu tindakan wajar dengan melihat kes melibatkan kanak-kanak adalah sedikit jika dibandingkan dengan dewasa.

“Saya yakin jika masyarakat mampu komited melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan sebaiknya, kes yang melibatkan kanak-kanak akan dapat dikurangkan dan vaksin tidak lagi menjadi keperluan,” katanya.

Bagi kakitangan swasta, Aziz Jaafar, 51, juga mempunyai pandangan sama dan menegaskan apa yang dilakukan kerajaan adalah langkah betul.

“Ia kerana vaksin kepada kanak-kanak itu sendiri tidak ada apa-apa bukti saintifik. Ada yang kata vaksin itu berkesan ada juga kata sebaliknya,” katanya.

Bagi kakitangan swasta, Mohd Fairuz Mat Isa, 38, pula melihat program itu wajar dihentikan sekiranya menyumbang kepada pembaziran sekali gus memberikan kesan kepada ekonomi negara.

“Kurangnya sambutan kepada vaksin untuk kanak-kanak ini mungkin kerana ibu bapa kurang yakin dengan program tersebut serta kesan kepada kanak-kanak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!