Lagi inisiatif bantu ringankan beban rakyat
SHAH ALAM -Tambahan diskaun tambang 20 peratus bagi perkhidmatan KTM Komuter yang diumumkan kerajaan baru-baru ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kos pengangkutan awam untuk rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif KTM Berhad, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya amat menyambut baik inisiatif baik berkenaan yang disifatkannya sebagai langkah yang tepat.
"Tinjauan ke atas orang ramai menyambut baik inisiatif kerajaan ini dan mereka rasa bersyukur dan gembira dengan pengurangan kadar tambang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelancaran tambahan diskaun tambang 20 peratus itu dijadual disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Stesen KL Sentral, pada 31 Mac ini.
Susulan itu pihak KTM sedang membuat persiapan khususnya untuk memastikan semua pengguna KTM Komuter akan mendapat kad-kad baharu yang mengandungi tambahan 20 peratus diskaun.
Timbalan Perdana Menteri juga dijangka melancarkan aplikasi terbaharu yang berfungsi sebagai perancang perjalanan bagi pengguna KTM Komuter pada tarikh di Stesen KL Sentral nanti.
Aplikasi yang boleh dimuat turun di semua peranti Android dan I0S itu membolehkan orang ramai mengetahui komuter perjalanan maklumat seperti waktu keluar, tiba dan sebagainya.
Bagi pengguna yang ingin memiliki kad-kad itu mereka boleh mendapatkannya mulai hari ini di Stesen KL Sentral dan Kuala Lumpur, manakala pengedaran berperingkat-peringkat dilakukan semua stesen di Lembah Klang sehingga ke selatan sektor di Pulau Sebang / Tampin, Negeri Sembilan, Isnin ini.
Mereka perlu menunjukkan MyKad dan hanya satu kad sahaja akan dikeluarkan untuk setiap warganegara Malaysia, berusia antara 13 hingga 59 tahun.
Ketika ini, penumpang kategori pelajar, OKU dan warga emas menikmati tambang konsesi sebanyak 50 peratus.
Mohd Rani berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai tata cara penggantian dan penggunaan kad-kad baharu di mana-mana stesen, menerusi media hebahan dan saluran baru rasmi KTMB secara rasmi dibuat untuk memastikan pengguna dapat menggunakan keseluruhan diskaun menjelang 1 April nanti.
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke pada 20 Februari lalu membolehkan hampir 100,000 pengguna komuter menikmati kadar tambang lebih murah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!