Ekonomi Sabah meningkat: Bung Moktar
KOTA KINABALU - Aktiviti ekonomi di negeri ini semakin meningkat apabila pasar raya, pusat beli-belah dan bazar Ramadan mula dikunjungi orang ramai.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, fasa peralihan endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa jelas memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
"Fasa peralihan endemik menjadi permulaan baharu untuk rakyat Malaysia membebaskan diri selepas dua tahun 'berperang' akibat Covid-19," katanya selepas meninjau Bazar Ramadan Asia City di sini, pada Isnin.
Turut melakukan tinjauan di bazar ialah Setiausaha Politik Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Mohd Kurniawan Naim Moktar.
Menteri Kerja Raya Sabah itu turut mengingatkan rakyat supaya tidak leka dan sentiasa patuh cara hidup baharu yang ditetapkan kerajaan menjelang negara bakal 'berdamai' dengan Covid-19.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata pergerakan keluar masuk bagi sektor pelancongan ketika ini masih terhad tetapi pelancong domestik dilihat meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!