Bastianini yakin Ducati mampu mencabar

Bastianini - Foto visordown.com
Bastianini - Foto visordown.com
A
A
A

PELUMBA Ducati, Enea Bastianini yakin pasukan itu mampu mencabar kejuaraan MotoGP musim ini berdasarkan kepada prestasi pasukan berkenaan pada saingan musim ini.

Menurut Bastianini, sejak merekodkan kejayaan sulung pada saingan Grand Prix (GP) Qatar pada 6 Mac lalu, pasukan berkenaan tidak pernah tercicir daripada menamatkan setiap perlumbaan pada kedudukan lima pasukan teratas (top five).

“Biarpun baru mengharungi empat perlumbaan, namun pada setiap perlumbaan Ducati berjaya mencatatkan keputusan memberangsangkan.

“Daripada dua kemenangan yang dicatatkan pada GP Qatar dan GP Amerika 11 April lalu, pasukan ini turut berada dalam kedudukan lima terbaik (top five).

“Oleh itu, ia sudah cukup menggambarkan mengenai prestasi semasa pasukan ketika ini dan diharapkan ia berterusan sehingga ke penghujung musim,” kata pelumba Itali berusia 24 tahun itu.

Untuk rekod, Ducati kini mendahului bagi senarai pengeluar dengan 86 mata hasil dua kali kemenangan dengan lima podium.

Malah, Bastianini kini merupakan pendahulu bagi senarai pelumba MotoGP musim ini dengan 61 mata hasil kejayaan dua kali menaiki podium iaitu pada GP Qatar 6 Mac lalu dan terbaru GP Amerika Syarikat pada 11 April.

Sementara itu, Bastianini berkata, dia menyasarkan untuk menaiki podium ketiga pada GP Portugal hujung minggu ini bagi membantu melebarkan lagi penguasaan pasukan Ducati.

Bagaimanapun katanya, dia turut berwaspada dengan ancaman daripada pelumba Suzuki Alex Rins yang mengekori rapat kedudukannya ketika ini.

“Rins juga memiliki rekod menaiki podium sebanyak dua kali sebelum ini ini membuatkan saya perlu berhati-hati di Litar Algarve, kali ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!