Pengarah syarikat kena tipu 'scammer' lebih RM174,000
KUANTAN - Seorang pengarah sebuah syarikat berusia 61 tahun kerugian lebih RM174,000 akibat ditipu 'scammer' konon dia memenangi cabutan bertuah.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, mangsa dihubungi 'wakil' syarikat perjudian dari Macau dan Hong Kong memaklumkan konon dia memenangi hadiah cabutan bertuah lebih HKD 4.4 juta atau RM2.38 juta, pada hujung tahun lalu.
Huat Tian berkata, ia disusuli panggilan daripada individu yang mendakwa pegawai dari Bank Forex Hong Kong.
"Mangsa diminta membayar pelbagai bayaran termasuk cukai kastam dan kos guaman bagi menuntut hadiah wang tersebut.
"Mangsa turut diperdaya hingga membuat beberapa bayaran lain melalui 10 transaksi bayaran ke lima akaun bank atas nama individu berbeza dengan jumlah bayaran keseluruhan RM174,939," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurut Huat Tian, selepas bayaran itu mangsa tidak menerima wang hadiah yang dijanjikan.
"Mangsa mula curiga dan syak ditipu apabila panggilannya disekat. Dia membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!