Ikon Pendidikan selayaknya diberikan kepada guru

Aznil dilantik sebagai Ikon PAK21 oleh KPM, kelmarin.
Aznil dilantik sebagai Ikon PAK21 oleh KPM, kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan Ikon Pendidikan selayaknya diberikan kepada guru seperti moto yang sering Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) laungkan bahawa #guruherokita.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata, di Malaysia, ramai guru yang hebat sehingga ada di antara mereka pernah dicalonkan untuk Anugerah Guru Global.

Katanya, guru telah banyak berfikir, merancang, menguji dan melaksanakan pelbagai kaedah dan teknik Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), maka guru adalah menjadi ikon dan jurucakap bagi PAK21.

“Menjadi ikon bermakna menjadi contoh terbaik buat semua bahkan ia menjadi rujukan semua orang dalam memahami PAK21.

“Kita punyai ramai guru-guru yang hebat dan berwibawa untuk diangkat sebagai ikon PAK21. Mereka telah mengabdikan seluruh hidup mereka di dalam arena pendidikan bahkan membangunkan kesyumulan jati diri murid-murid demi mencapai falsafah dan matlamat pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada pun melantik mana-mana individu, terutamanya selebriti atas sebab program kemasyarakatan, motivasi, kemahiran insaniah dan lain-lain seharusnya dipertimbangkan dan diposisikan dengan lebih baik.

“Saya kira Datuk Aznil Nawawi wajar dilantik sebagai duta KPM bagi mempromosi PAK21.

“Ia dilihat lebih sesuai dengan usaha dan sumbangan yang diberikan beliau melalui Yayasan Pesona,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, personaliti terkenal yang juga pengacara nombor satu negara, Aznil dilantik sebagai Ikon PAK21 oleh KPM.

Aznil yang mesra disapa sebagai Pak Nil juga adalah pengasas Yayasan Pesona yang berperanan melahirkan generasi bijak.

Bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada Yayasan Pesona, Aznil turut melepaskan jawatan tetap sebagai Naib Presiden Pengurusan Bakat On Air Astro pada 31 Disember tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!