Sukan SEA: Barisan muda mahu pertahan gelaran

Wei Chong dan Kai Wun tekad kekal status beregu Sukan SEA buat Malaysia
Wei Chong dan Kai Wun tekad kekal status beregu Sukan SEA buat Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gandingan muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bertekad untuk memastikan gelaran beregu lelaki Sukan SEA kekal menjadi milik Malaysia pada edisi Hanoi, Vietnam yang akan berlangsung bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Selepas penantian selama 16 tahun, Aaron Chia- Soh Wooi Yik berjaya menamatkan kemarau gelaran beregu lelaki di Sukan SEA Filipina 2019, selepas kali terakhir dimenangi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2003 di Vietnam.

Namun, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu tidak akan mempertahankan pingat emas berkenaan kerana akan menyertai Piala Thomas di Bangkok, Thailand dari 8 hingga 15 Mei.

Susulan itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan mempertaruhkan barisan pemain muda pada Sukan SEA, pasangan nombor 44 dunia Wei Chong-Kai Wun yang berusia 22 tahun sekali gus optimis mencipta kejayaan buat skuad negara.

Kai Wun yang sangat teruja untuk penampilan pertama di temasya dwitahunan itu berkata, segala persiapan termasuk teknik dalam gelanggang dan latihan fizikal berjalan dengan lancar.

"Berbaki tiga minggu lagi, kita berharap akan bersedia sepenuhnya untuk Sukan SEA, terutamanya perlu bersedia dari segi keserasian bersama Wei Chong dan keadaan diri sendiri. Sasaran kami bagi acara beregu lelaki adalah pingat emas.

"Bagi acara berkumpulan, kita berharap dapat pergi jauh sehingga meraih pingat emas atau perak, Namun, Indonesia dan Thailand dijangka beri cabaran sengit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kai Wun turut menamakan beregu lelaki nombor 21 dunia Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich dan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin (24), kedua-duanya dari Indonesia sebagai halangan utama bagi meraih emas beregu lelaki pada temasya sukan itu.

Sementara itu, Wei Chong turut menjangkakan cabaran sengit dalam laluan meraih emas di Hanoi, berharap untuk membalas kepercayaan jurulatih dan penyokong dengan mempamerkan aksi terbaik.

Berikutan skuad Sukan SEA sedang mengikuti kem latihan pusat bersama-sama pasukan senior untuk Piala Thomas dan Piala Uber di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak Jumaat lepas, beliau turut mahu menimba ilmu dan pengalaman daripada ‘abang-abang dan kakak-kakak’ sebelum bertolak ke Hanoi.

"Pemain-pemain senior akan kongsi pengalaman dan tunjuk ajar dalam persediaan menghadapi Sukan SEA. Dari situ kita boleh belajar banyak perkara bagi memastikan kita dah betul-betul bersedia untuk cabaran ini,” katanya.

Juara saingan Antarabangsa Sepanyol 2021 itu turut mengakui sedikit kecewa dengan ketiadaan jurulatih Flandy Limpele, yang memilih untuk tidak memperbaharui kontrak dengan BAM hujung bulan lepas, namun bersedia untuk meneruskan perjalanan kariernya tanpa jurulatih dari Indonesia itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!