Kutipan sampah dijangka cecah 2,100 tan sehari menjelang Aidilfitri

Mohd Firdaus (tiga dari kiri, barisan depan) bersama wakil penganjur meraikan anak-anak yatim di rumah Perkim dengan juadah berbuka puasa McDonald’s, selain sumbangan hamper kuih dan duit raya.
Mohd Firdaus (tiga dari kiri, barisan depan) bersama wakil penganjur meraikan anak-anak yatim di rumah Perkim dengan juadah berbuka puasa McDonald’s, selain sumbangan hamper kuih dan duit raya.
A
A
A

ALOR SETAR - Janaan sisa pepejal di Kedah dan Perlis dijangka meningkat sehingga 2,100 tan sehari menjelang musim perayaan Aidilfitri bulan hadapan.

Ketua Komunikasi Korporat E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman), Mohd Firdaus Mohd Isa berkata, peningkatan itu dianggarkan sebanyak 15 peratus berbanding janaan pada hari biasa yang merekodkan sekitar 1,800 tan sehari ketika ini.

Menurutnya, peningkatan jumlah kutipan sampah itu adalah disebabkan aktiviti perniagaan kembali beroperasi selain jangkaan orang ramai pulang ke kampung meraikan Aidilfitri susulan negara kini dalam fasa peralihan endemik.

“Pada tahun lalu, janaan sisa pepejal di dua negeri ini ketika musim perayaan Aidilfitri meningkat 13 peratus iaitu sebanyak 1,800 tan berbanding 1,600 tan pada hari biasa, namun tahun ini dijangka lebih tinggi,” katanya selepas majlis iftar ‘Ramadan Kita’ E-Idaman bersama 40 anak yatim Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), dengan kerjasama McDonald’s Malaysia dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini, pada Isnin.

Mohd Firdaus berkata, E-Idaman akan melaksanakan kutipan khas sisa pukal dan kebun di taman perumahan yang dikenal pasti menghasilkan lebihan janaan sebagai persiapan menyambut Aidlfitri.

“Lebih 4,000 pekerja dan 540 jentera akan melakukan kerja kutipan sampah ini secara berterusan bagi melancarkan kerja pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di dua negeri ini," katanya.

Menurutnya lagi, perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan di Kedah dan Perlis sepanjang Aidilfitri akan beroperasi seperti biasa.

“Jadual kutipan sampah berjalan seperti biasa dan akan dilanjutkan menjelang musim perayaan nanti. Kami akan tingkatkan operasi bagi memastikan kebersihan awam terjamin sepanjang tempoh perayaan,” katanya.

Mohd Firdaus turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhemah dalam menyediakan juadah berbuka dan ketika sambutan Aidilfitri bagi mengelak pembaziran makanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!