Noh kecewa Bantuan Dana Kecemasan PKS 2.0 belum dibayar

Noh (tengah) ketika hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia di Taman Tamadun Islam (TTI) pada Selasa.
Noh (tengah) ketika hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia di Taman Tamadun Islam (TTI) pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar kecewa apabila pemberian pinjaman melalui Bantuan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir belum dapat dijelaskan.

Menurut Noh, terdapat 200 PKS yang terkesan dengan bencana tersebut memohon bantuan pinjaman tanpa faedah berjumlah keseluruhan RM100 juta itu dan telah diluluskan, namun sehingga kini bayaran belum dibuat.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) pada Rabu bagi mendapatkan penjelasan punca kegagalan agensi tersebut menunaikan janji.

"Saya sudah cakap permudahkan bantuan pinjaman ini kerana kita mahu bantu usahawan dalam kecemasan. Janji mahu selesaikan dua minggu tapi ini sudah tiga minggu belum selesai lagi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada Selasa.

SMEEF 2.0 memberikan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM100,000 dengan tempoh bayaran balik selama lima tahun dan diberikan moratorium setahun membabitkan peruntukan keseluruhan RM100 juta.

Mengulas lanjut Noh berkata, dalam pertemuan pada akhir bulan lalu beliau telah mengarahkan SME Corp dan MIDF supaya permudahkan urusan dengan melonggarkan syarat pinjaman bantuan.

Katanya, kelulusan permohonan SMEEF 2.0 diuruskan oleh SME Corp, manakala MIDF bertanggungjawab menguruskan bayaran kepada PKS.

Noh berkata, beliau mahu agensi tersebut mempercepatkan bayaran supaya sektor PKS negara dapat dirancak serta dihidupkan semula.

"Bila kecemasan kita tidak boleh mengikut prosedur biasa, ini sudah banyak kali saya tekankan. Bila saya dapat syarat ditetapkan MIDF ini, saya tengok sama dengan syarat permohonan biasa padahal saya telah beri arahan supaya permudahkan urusan.

"Saya tidak nafikan bila libatkan pinjaman mesti ada perjanjian kerana duit perlu dibayar balik tapi kena longgarkan syaratnya supaya tidak menyusahkan rakyat. Ini tidak syaratnya macam-macam saya tengok pun pening kepala," katanya.

Sementara itu, Noh memaklumkan bayaran bantuan banjir di bawah inisiatif Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) kepada kepada usahawan informal dan mikro yang layak di seluruh negara akan diselesaikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Jelas beliau, sebahagian besar bayaran sebanyak RM3,000 kepada 16,051 permohonan BBKM sudah dibayar dan baki seramai 1,300 usahawan informal dan mikro akan dijelaskan dalam masa terdekat.

"Di Terengganu, seramai 962 usahawan informal dan mikro yang mana premis perniagaan mereka terjejas banjir menerima bantuan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!