Dugaan Ramadan mangsa ribut di Pendang

Maisarah (tiga dari kiri) menunjukkan keadaan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin kepada Awang Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dan ADUN Pedu,Mohd Radzi Md Amin di Kampung Majapahit pada Selasa.
Maisarah (tiga dari kiri) menunjukkan keadaan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin kepada Awang Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dan ADUN Pedu,Mohd Radzi Md Amin di Kampung Majapahit pada Selasa.
A
A
A

PENDANG - Kira-kira 53 keluarga di daerah ini menyambut Ramadan kali ini dengan suasana suram apabila bumbung rumah mereka rosak dalam kejadian ribut pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, cuaca yang mulanya cerah bertukar mendung secara tiba-tiba disusuli dengan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung kediaman penduduk diterbangkan angin sekali gus meragut keceriaan mereka menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Selain itu, dianggarkan 200 peniaga yang menjual minuman dan juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Pekan Pendang dan bazar Ramadan Tanah Merah turut berdepan detik cemas apabila khemah niaga mereka turut diterbangkan angin.

Salah seorang mangsa yang juga peniaga, Maisarah Alias, 28, dari Kampung Majapahit berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga gulai kawah bersama suaminya di bazar Ramadan Tanah Merah.

Katanya, kejadian berlaku sekelip mata dan dia hanya mampu memegang khemah sahaja bagi memastikan ia tidak diterbangkan ribut seperti peniaga lain.

"Dalam kekalutan cuba menyelamatkan khemah di bazar Ramadan, saya dikejutkan panggilan daripada jiran yang memberitahu bumbung rumah saya diterbangkan angin.

"Sebaik pulang ke rumah saya amat terkejut apabila lihat keadaan bumbung dan kerosakan peralatan dalam rumah seperti 'dilanggar garuda',"katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Maisarah berkata, dia memang tidak menyangka kejadian itu telah menyebabkan hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

Bagaimanapun dia sekeluarga bersyukur kejadian ribut itu tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun mengakui Ramadan dan sambutan Aidilfitri kali ini tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Dengan keadaan hari raya bakal menjelma tidak lama lagi, memang rasa amat sedih sebab kami bukan orang senang dengan anggaran kerosakan lebih RM10,000.

"Terasa bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila khemah di bazar Ramadan koyak, kini bumbung rumah pula diterbangkan angin selain kelengkapan rumah turut rosak akibat terkena hujan," jelasnya..

Seorang lagi mangsa, Nurafiza Jamil,31, turut menyifatkan Aidilfitri kali ini pastinya tidak seceria sebelum ini dengan keadaan rumahnya yang rosak akibat dilanda ribut itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di dalam kereta dan hanya mampu menunggu keadaan ribut reda sebelum masuk ke dalam rumah

"Melihat keadaan kerosakan, saya memang sudah tidak fikir untuk raya tetapi memikirkan bagaimana untuk baik pulih bumbung rumah yang rosak akibat diterbangkan angin," ujarnya.

Bagi suri rumah, Rajmah Bidin,74, pula berkata, ketika kejadian dia sedang berada di hadapan rumah apabila cuaca yang sebelum cerah tiba-tiba bertukar mendung sekelip mata diikuti angin kuat dan hujan lebat.

Rajmah berada di bahagian hadapan rumahnya di Kampung Majapahit ketika ribut melanda.
Rajmah berada di bahagian hadapan rumahnya di Kampung Majapahit ketika ribut melanda.

"Bayangkan, bunyi angin yang amat kuat dengan pokok kelapa di hadapan rumah mak cik condong dan seakan-akan menunggu rebah bila-bila masa sahaja.

"Dalam keadaan takut, mak cik hanya mampu berdoa moga dijauhkan dari bencana sebelum masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Warga emas itu berkata, beberapa keping bumbung dan televisyen di rumahnya turut rosak akibat kejadian ribut disusuli guruh dan kilat itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim memberitahu sebanyak 53 kediaman di daerah Pendang dilaporkan mengalami kerosakan akibat ribut pada Isnin melibatkan

Kampung Rambai (15), Kampung Majapahit (14), Tanah Merah/Alor Pering/Alor Punti (7), Kampung Jelai (5), Banggol Besi (5), Alor Parit (3), Tok Pauh (2) dan masing-masing sebuah rumah di Alor Ali serta Alor Mengkuang.

Beliau berkata, selain kediaman penduduk, bazar Ramadan dan khemah untuk persiapan majlis berbuka puasa yang dijangka dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada Selasa turut rosak akibat ribut.

"Khemah di Masjid Sultanah Haminah, di sini, diterbangkan angin menyebabkan majlis berbuka puasa berkenaan terpaksa dibatalkan," katanya yang turut bersimpati kepada mangsa dalam kejadian ribut pada petang Isnin itu.

Mengulas lanjut, Awang turut memaklumkan pihaknya mendapati masih ramai mangsa yang belum membuat laporan dan menjangkakan bilangan mangsa ribut di daerah Pendang meningkat selepas ini.

Justeru beliau meminta penduduk yang terjejas agar tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk polis bagi memudahkan proses selanjutnya.

Keadaan khemah majlis berbuka puasa di Masjid Sultanah Haminah yang dijangka dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada Selasa turut rosak akibat ribut.
Keadaan khemah majlis berbuka puasa di Masjid Sultanah Haminah yang dijangka dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada Selasa turut rosak akibat ribut.

"Bagi pihak Pejabat Parlimen Pendang dan Badan Perhubungan Pas Kedah, kami telah meninjau keadaan di kesemua kampung ini dan menyalurkan bantuan awal kepada penduduk yang terjejas.

"Malah badan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal juga turut turun padang membantu termasuklah memotong pokok tumbang agar ia tidak menghalang laluan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusof berkata, kejadian hujan lebat berserta angin kencang lebih sejam itu bermula kira-kira 4.40 petang telah bukan sahaja menyebabkan kediaman di daerah Pendang rosak bahkan turut menjejaskan peniaga di kawasan bazar Ramadan

Beliau memberitahu, selain itu tiga pejabat kerajaan termasuk pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Pendang di mukim Ayer Puteh turut dilaporkan rosak akibat kejadian itu.

"Malah kami juga turut menerima aduan berkaitan pokok tumbang yang berlaku di enam kampung sebelum turun memberi bantuan kit makanan kepada mangsa yang mengalami kerosakan teruk akibat ribut," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!