Sindiket penipuan program RTK tumpas
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) membongkar taktik sindiket penipuan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang menjadikan sebuah premis syarikat pelancongan di ibu kota sebagai lokasi pendaftaran, pengumpulan pasport dan penerimaan bayaran dari warga asing untuk menyertai program RTK.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menahan tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 47 tahun dalam serbuan di premis berkenaan pada Jumaat lalu.
"Kita turut menjumpai sejumlah 264 pasport pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia dan India dipercayai cuba didaftarkan dalam program RTK.
"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM7,270 dipercayai sebahagian daripada hasil kutipan transaksi harian dari aktiviti berkenaan," katanya pada Selasa.
Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu didapati menjalankan aktiviti menyerupai syarikat 'outsourcing' yang telah dimansuhkan dengan menggunakan beberapa syarikat tidak aktif (dormant) untuk mendapatkan kuota pekerja asing di bawah program RTK.
"Khidmat pekerja-pekerja asing yang berjaya didaftarkan akan ditawarkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang memerlukan pekerja asing dengan bayaran tertentu.
"Sindiket dipercayai mengenakan bayaran di antara RM6,500 hingga RM8,000 seorang bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pelbagai sektor melalui program berkenaan," jelasnya.
Menurutnya, berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket ini dipercayai berjaya mengaut keuntungan mencecah RM2 juta melalui caj yang dikenakan ke atas pekerja asing, syarikat atau individu yang menjadi pelanggan mereka.
"Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!