'Ada pihak putar belit'
LEGENDA bola sepak kebangsaan, Khalid Ali merancang untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang memutar belitkan kenyataannya mengenai kelab Selangor FC baru-baru ini.
Khalid menegaskan, beliau tidak pernah membuat kenyataan seperti mana yang dilaporkan beberapa portal sukan tempatan sehingga mengundang persepsi buruk terhadap dirinya.
“Sebenarnya saya dijemput untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Saya juga diberikan borang untuk analisa pasukan dan pemain-pemain.
“Jadi saya ada buat komen dan berikan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mana saya mengatakan Selangor FC bermain tidak seperti satu pasukan dan ada perkara lain yang saya katakan.
“Tiba-tiba keluar pula saya suruh buang coach. Masa tu Selangor menang... takkan bila Selangor dah menang, kena buang coach,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Khalid merujuk kepada perlawanan 10 April lalu ketika pertemuan antara Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menyaksikan skuad The Red Giants menang 4-1.
Namun, tular di media sosial mengenai berita di laman portal yang mengatakan Khalid menyarankan agar pengendali Selangor FC, Michael Fitchenbeiner dipecat.
“Saya tak pernah buat apa-apa pun (kenyataan) sebegitu. Jadi janganlah ada yang menggunakan nama saya untuk memajukan laman portal kamu!
“Kalau tengok portal berkenaan, berita saya bertarikh 18 April, tetapi macam yang saya kata, dah sebulan saya tak buat komen apa-apa.
“Mengarut mereka ini... pandai guna nama saya. Saya pun tak kenal siapa mereka... saya mana ada main (ulas) di portal tetapi saya lebih banyak beri komen di media-media utama,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!