World #QuranHour pilih surah Al-Sajdah
SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Studio TV Alhijrah pada 26 April depan.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, surah Al-Sajdah dipilih bertujuan untuk mengikut model Rasulullah SAW, selain mahu mengubah mindset manusia supaya tidak rasa sombong dalam diri sehingga mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat dan negara.
“Kita nak lahirkan ummah yang boleh ikut apa yang Rasulullah SAW buat. Baca surah Al-Mulk dan Al-Sajdah sebelum tidur. Paling penting kita nak membina kerangka fikir kita berubah dengan apa yang surah ini sampaikan.
“Jadi tema utama dalam surah Al-Sajdah ini adalah dunia bersujud. Kita nak ajak semua sujud dan masing-masing merasakan penting untuk kita sujud kepada ALLAH SWT.
“Selain itu, membuang ego pada sesama manusia, sekali gus membuahkan hasil dunia berbudi dan penyayang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), TV Alhijrah, Islamic Tourism Center (ITC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara.
Mengulas lanjut, Marhaini berkata, hampir dua tahun Malaysia diuji dengan isu kesihatan, ekonomi terutamanya impak kewangan dan juga bencana alam seperti banjir.
“Jadi, surah Al-Sajdah ini, secara thematic dan reconstruct ingin dikaji sehingga ia menjadi panduan serta solusi akan masalah ekonomi bagi membantu ummah yang sedang lemas dan lapar.
“Ia sebagaimana model perjuangan Rasulullah SAW kepada orang miskin dan fakir. Dalam konteks sekarang ramai yang menjunam jatuh dari T20, M40 di saat sukar ini.
“Justeru, kita berharap ini menjadi sebab untuk kita menjadi Malaysia ke arah sebuah negara yang bersujud, dunia yang bersujud,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!