Kampung Rusia diserang dari Ukraine

Gambar fail menunjukkan serpihan peluru di wilayah Belgorod, Rusia. - Foto Sputnik
Gambar fail menunjukkan serpihan peluru di wilayah Belgorod, Rusia. - Foto Sputnik
A
A
A

MOSCOW - Satu lagi perkampungan Rusia dibedil dari Ukraine pada Selasa, dakwa Gabenor Belgorod, Vyacheslav Gladkov.

Kampung Golovchino, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan Ukraine menjadi sasaran serangan, kata gabenor tersebut menerusi aplikasi Telegramnya.

Menurutnya, seramai tiga orang cedera dan mereka dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Seorang daripada mereka telah pun dibenarkan keluar selepas menerima rawatan manakala dua wanita masih dalam rawatan perubatan.

Serangan itu menjejaskan kira-kira 30 bangunan kediaman di kampung itu, tambah Gladkov.

Penduduk di penempatan kampung itu ialah lebih 4,000 orang.

Beberapa kawasan di wilayah sempadan Rusia iaitu Belgorod dan Bryansk telah diserang oleh Ukraine pada minggu lalu.

Menurut pihak Rusia, ia dilakukan oleh dua buah helikopter Ukraine yang telah melanggar ruang udara negara itu.

Serangan terburuk berlaku pada Khamis lalu di Klimovo, wilayah Bryansk yang mana lapan orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan ibunya yang mengandung cedera. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!