Manchester United jauh ketinggalan
KEKALAHAN 0-4 kepada Liverpool pada Rabu ternyata mengecewakan, memalukan dan membuktikan Manchester United sememangnya jauh ketinggalan berbanding seteru tradisi skuad The Red Devils itu.
Hakikat itu diluahkan pengendali interim United, Ralf Rangnick yang menyifatkan skuad kendaliannya ibarat ketinggalan enam tahun ke belakang berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Justeru, Rangnick menegaskan satu perubahan besar-besaran perlu dilakukan dalam usaha ‘membina semula’ pasukan berkenaan dalam usaha muncul semula selaku pencabar kejuaraan pada masa hadapan.
“Saya perlu katakan, kekalahan ini ternyata sungguh mengecewakan dan memalukan. Kami juga perlu menerima hakikat bahawa mereka (Liverpool) kini sudah jauh meninggalkan kita, ibarat enam tahun ke hadapan.
“Lihat sahajalah kemajuan berlaku di Anfield pada setiap kali musim perpindahan pemain dan tidak salah untuk saya katakan bahawa kini Liverpool ibarat memiliki 25 pemain yang disifatkan sebagai kereta lumba Formula Satu (F1).
“Sejak kedatangan Jurgen Klopp ke Anfiled banyak perkara yang berubah bukan hanya dari segi pasukan yang ditambah baik, tetapi kelab termasuk bandar Liverpool itu sendiri.
"Oleh itu perkara-perkara inilah yang perlu kita berikan perhatian dan seterusnya dilaksanakan pada jendela perpindahan akan datang,” katanya.
Aksi di Anfield pada Rabu menyaksikan Liverpool membuka jaringan menerusi Luis Diaz pada minit kelima sebelum Mohamed Salah meledak dua gol pada minit ke-22 dan min-85 manakala satu gol lagi dijaringkan Sadio Mane pada minit ke-68.
Kekalahan United itu sekali gus menyaksikan Liverpool kini merampas kedudukan selaku pendahulu EPL apabila meraih 76 mata bagi mengatasi Manchester City yang meraih 74 mata tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan.
Untuk rekod, sebelum ini, United turut tewas 0-5 kepada Liverpool di Old Trafford pada aksi EPL Oktober lalu.
Sementara itu Rangnick yang juga berperanan selaku konsultan bagi United tidak menolak kemungkinan rombakan besar-besarkan akan dilakukan musim depan dimulai dengan kehadiran pengendali baharu, Erik Ten Hag.
Malah katanya, kontrak sebahagian besar pemain juga bakal berakhir pada penghujung musim ini dan bakal menyaksikan kehadiran pemain-pemain baharu bagi menggalas tanggungjawab musim depan.
“Saya tidak tahu mungkin enam, tujuh, lapan atau 10 pemain baharu untuk United musim depan tetapi perlu diingatkan, dengan kehadiran mereka, apakah formasi atau apakah corak permainan yang mahu dipraktikkan?
“Apa pun, yang pasti proses pembinaan semula akan berlaku musim depan dan bukannya sekarang di mana kita hanya berbaki lima perlawanan untuk ditamatkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!