JBPM bawa turun pendaki terseliuh
KUANTAN - Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Raub berjaya menemui dan membawa turun seorang pendaki yang terseliuh di Gunung Twin Peak, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Raub yang juga Penolong Kanan Penguasa Bomba, Khairul Anuar Yaacob berkata, pihak JBPM menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah malam memaklumkan mangsa, Chok Sai Khow, 54, bersama dua lagi rakan pendaki terkandas di puncak kerana kecederaan yang dihadapi mangsa.
Menurutnya, JBPM Raub dengan kekuatan tujuh anggota bersama seorang anggota polis dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS Bomba) membuat persediaan dan memulakan pendakian kira-kira jam 2 pagi.
"JBPM tiba di lokasi mangsa berada selepas mengambil masa kira-kira dua jam setengah pendakian.
"Setibanya di sana pada jam 5.24 pagi, mangsa yang keletihan diberikan rawatan oleh EMRS Bomba sebelum diiring menuruni gunung dan dihantar ke Klinik Kesihatan Bukit Fraser sekitar jam 8 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, laluan menyelamat ke Gunung Twin Peak melalui Pine Tree Trail, Bukit Fraser.
Katanya, laluan pendakian di gunung tersebut agak mencabar bagi orang awam khususnya pendaki amatur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!