PGA rampas seluar jeans, baju, beg tangan raya

Pelbagai seluar jeans dan baju wanita dirampas oleh PGA kerana dipercayai diseludup dari Thailand menerusi pangkalan haram. - Foto ihsan PGA
Pelbagai seluar jeans dan baju wanita dirampas oleh PGA kerana dipercayai diseludup dari Thailand menerusi pangkalan haram. - Foto ihsan PGA
A
A
A

PASIR MAS - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas seluar jeans, baju dan beg wanita pelbagai jenama dipercayai diseludup dari Thailand sempena sambutan perayaan Aidilfitri di Pasar Besar Tasik Raja, di sini, pada Selasa.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Batalion 7 PGA pada jam 7.30 malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azahari Nusi berkata, pasukan menahan sebuah lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pasar Besar Tasik Raja, Pasir Mas.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun dan dibantu kelindan berumur 35 tahun itu menjumpai seluar jeans, beg wanita, baju dan juga selipar bernilai RM 208,610 yang disembunyikan di dalam kotak dan guni di bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Rabu.

Lori yang digunakan oleh kedua-dua suspek turut dirampas oleh PGA untuk siasatan lanjut. - Foto ihsan PGA
Lori yang digunakan oleh kedua-dua suspek turut dirampas oleh PGA untuk siasatan lanjut. - Foto ihsan PGA

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua barangan itu dipercayai di seludup dari negara Thailand melalui pangkalan haram dan untuk diedarkan di beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu, Kelantan bagi memenuhi permintaan yang tinggi pada musim perayaan.

“Suspek mengaku menerima gaji bulanan RM1,800 serta komisen bergantung kepada jumlah kekerapan penghantaran yang dilakukan.

“Kesemua barangan seludup dan lori bernilai RM70,000 dirampas menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM278,610,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesalahan di bawah Akta Cap Dagang 2019.

“Masyarakat diingatkan agar tidak sesekali bersekongkol dan terlibat dalam sindiket penyeludupan kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa peka dan komited untuk terus mengesan serta menangkap individu yang mendalangi kegiatan ini.

“Sebarang perkongsian maklumat kepada pihak PDRM sangat dialu-alukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!