Kata-kata anak sulung jentik hati bapa tinggalkan dadah
PAPAR - [DIKEMAS KINI] Teguran anak sulung meminta supaya kembali ke pangkal jalan dan bebas daripada najis dadah menjentik hati seorang pelatih untuk menjalani rawatan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar sehingga pulih.
Rafie (bukan nama sebenar), 42, berkata, dia terjebak dengan najis dadah gara-gara ingin mencuba merasai kelainan apabila mengambil barang terlarang itu.
Bapa kepada empat anak itu berkata, walaupun pernah berhenti daripada mengambil dadah selama lima tahun, namun perasaan 'rindu' kembali apabila bertemu dengan rakan yang turut mengambil dadah.
"Saya menagih dadah ketika berusia 20 tahun iaitu pada tahun 2000 dan kemudian saya pernah berhenti selama lima tahun.
"Namun saya kecundang apabila kembali menyentuh dadah sebelum dimasukkan ke Puspen pada Mac tahun lalu.
"Saya kemudian dimasukkan ke sini atas kemahuan keluarga yang mahu saya berubah dan bebas dari najis dadah," katanya ketika ditemui di Puspen Papar di Kimanis baru-baru ini.
Katanya, ketika ditahan di lokap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), hanya anak sulungnya yang datang.
"Saya malu apabila dia melihat keadaan saya. Anak lelaki saya berkata, "Abah berubahlah".
"Apabila dia berkata demikian ketika itu terlintas di fikiran, anak saya yang tegur saya sendiri.
"Saya katakan padanya, Insya-ALLAH saya tidak akan berubah kerana keluarga semata-mata tetapi biar kerana ALLAH, namun memang niat saya untuk berubah juga," katanya.
Rafaie berkata, selepas keluar daripada pusat pemulihan ini, dia mahu menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya.
Ditanya mengenai sambutan Ramadan ketika berada di Puspen, Rafie berkata, sudah tentu dia rindu untuk bersahur dan berbuka puasa dengan anak-anak serta isterinya."Sebelum ini pun sambutan Hari Raya saya bersama anak, isteri serta keluarga mentua, jadi bila sambut Ramadan dan beraya di sini, saya anggap ia sebagai satu cara untuk memulihkan saya.
"Saya tidak anggap sebagai kenangan pahit, saya anggap ini satu kenangan manis sebab saya sangat bersyukur dapat dipulihkan di sini, mendekatkan dengan Tuhan serta banyak menjentik hati kita ke arah kebaikan untuk mengenal jati diri," katanya.
Tambahnya lagi, dia mahu menggunakan peluang sepanjang berada di Puspen untuk memperbaiki diri serta agama.
"Sebelum ini dari segi solat, saya akui saya seorang yang lemah, tetapi bila di sini, Alhamdulillah saya solat tarawih penuh sepanjang Ramadan.
"Alhamdulillah, di sini sudah 11 kali saya khatam Al-Quran, di luar saya tidak begitu kerana saya lebih kepada perkara yang tidak berfaedah," katanya.
Sehubungan itu, Rafie berhasrat membawa ilmu yang diperolehnya apabila keluar untuk dikongsi bersama masyarakat di luar nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!