Pas sambut baik kempen UMNO tanpa kata-kata kesat

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah - Foto Sinar Harian
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Pas menyambut baik usaha UMNO Kelantan yang mahu mengelak daripada menggunakan perkataan-perkataan kesat terhadap pemimpin dan ahli parti itu semasa berkempen atau ceramah.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pendekatan ditunjukkan oleh pemimpin dalam parti UMNO tersebut sangat baik terhadap hubungan kedua-dua parti berkenaan.

“Itu bagus dan selama ini pun kita tak kata apa-apa pada UMNO sebaliknya UMNO juga yang kata dalam Pas ni ada ‘tiga jahanam’.

“Itu nasihat yang baik dan kami harap berlawan secara gentlement, bercakap tentang dasar parti dan tidak menyerang individu, itulah sepatutnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kota Darul Naim, di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengulas lanjut, Pas juga menerima keputusan UMNO Kelantan pada Februari lalu yang memutuskan hubungan Muafakat Nasional (MN) dengan Pas dan akan menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 di Kelantan secara bersendirian tanpa pakatan itu.

“Kalau betul UMNO nak bertanding secara solo, kami menghormati pendirian UMNO walaupun kami lebih suka sekiranya bersama untuk kepentingan negara pada masa akan datang.

“Tetapi kalau UMNO sudah buat keputusan kita terpaksa terima,” katanya.

Keputusan tersebut juga bermaksud UMNO Kelantan bakal bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan serta menentang calon dari Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebelum itu, akhbar melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub meminta ketua bahagian dan cawangan UMNO Kelantan agar tidak menyerang individu atau bermulut celupar mengkritik Pas Kelantan dengan perkataan kurang sopan.

Pendekatan kempen UMNO kali ini lebih kepada memberi maklumat kepada rakyat tentang kegagalan pentadbiran Pas di Kelantan selama lebih 30 tahun.

Untuk rekod, pimpinan Pas Kelantan sebelum ini menyatakan kekecewaan susulan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman menggelarkan ‘tiga jahanam’ kepada pemimpinnya ketika ucapan perwakilan di Perhimpunan Agong UMNO lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!